Anda di sini

Guru kaunselor main peranan penting tingkat pretasi pelajar

Advertisement
PARA guru kaunseling merakamkan gambar kenangan bersama Shafie (tengah, depan) selepas selesai majlis tersebut.
PARA guru kaunseling merakamkan gambar kenangan bersama Shafie (tengah, depan) selepas selesai majlis tersebut.

KOTA KINABALU: Guru kaunselor memainkan peranan yang penting dalam meningkatkan pretasi pelajar di semua peringkat sekolah.

Menurut Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, kaunselor merupakan elemen penting dalam membantu pelajar mengenali diri dan memperbaiki kesilapan.

"Apabila berdepan dengan persekitaran persekolahan, terdapat pelajar yang tidak mampu memahami tindakan guru, kesalahan yang dilakukan dan bagaimana cara untuk mereka perbaiki diri mereka.

"Ada juga pelajar yang mungkin mempunyai keinginan untuk belajar, tetapi tidak berkemampuan memiliki kemudahan seperti buku tulis, buku rujukan dan sebagainya.

"Di sinilah peranan besar kaunselor dalam menyelami isu utama pelajar dan membantu mereka menghadapinya," ucapnya dalam Majlis Penutupan Seminar Amalan dan Pengurusan Terbaik

Kaunseling Sekolah Rendah dan Menengah Peringkat Negeri Sabah di salah sebuah hotel terkemuka di sini, pada Khamis.

Tambah beliau, seminar tersebut penting dalam meningkatkan perkhidmatan guru kaunselor kepada para pelajar yang memerlukan bimbingan.

"Seminar ini penting dalam menyediakan satu perkhidmatan yang baik, tidak hanya bagi pelajar bermasalah tetapi bagi membantu pelajar memilih arah tuju karier dan minat mereka," katanya lagi.

Dalam pada itu, Shafie selaku Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Sabah diiringi Pengarah Pendidikan Sabah Datuk Maimunah Suhaibul turut menyampaikan Bantuan Yayasan

Sabah untuk Pasukan Negeri Sabah ke Pertandingan Amalan Kaunseling Terbaik sempena Simposium Hal Ehwal Murid (HEM) Peringkat Kebangsaan.- Penerangan.

Advertisement