Anda di sini

Ditemui mati di bilik sewa

Advertisement
 Anggota polis membawa keluar mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Sibu.
MENYAYAT HATI: Anggota polis membawa keluar mayat mangsa untuk dihantar ke Hospital Sibu.
 Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian petang semalam.
SIASAT: Pihak polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian petang semalam.

SIBU: Seorang wanita ditemui mati dipercayai dibunuh dengan kedua-dua belah tangannya diikat ke belakang di atas lantai bilik sewanya di Jalan Tiong Hua di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Sibu ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, mangsa yang bekerja sebagai pembantu pendaftaran di Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) di sini tidak hadir bekerja semalam menyebabkan beberapa rakan sekerjanya bimbang dan mencari mangsa di kediamannya sekitar jam 3 petang semalam.

Katanya, sepasukan polis segera ke lokasi sebaik menerima panggilan bahawa mangsa, Nurnia Azalea Priscilla Edward, 26, berasal dari Kanowit ditemui hanya berkain batik di atas lantai di tepi katil dan sudah meninggal dunia di bilik sewanya.

“Buat masa ini, pihak polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya ketika dihubungi petang semalam.

Difahamkan, mangsa tinggal seorang diri di bilik sewa itu memandangkan suaminya bekerja sebagai kerani di sebuah sekolah di Tatau.

Sementara itu, menurut seorang rakan sekerja, sebelum kejadian suaminya ada menghubungi pihak pejabat untuk mencari isterinya sekitar tengah hari semalam.

Susulan itu, beberapa rakan sekerja pergi ke rumah sewa mangsa dan terkejut dengan penemuan itu.

Menurut mereka, mangsa merupakan seorang yang peramah dan kali terakhir dilihat di pejabat kelmarin.

Suami mangsa, 29, yang tiba di lokasi kejadian sekitar jam 4.40 petang tidak dapat menerima hakikat kematian isterinya dan ditenangkan oleh anggota polis.

Mangsa dan suaminya telah berkahwin lebih kurang setahun dan belum mempunyai cahaya mata.

Stanley berkata, mayat mangsa telah dihantar ke Hospital Sibu untuk dibedah siasat.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

  • oleh
  • Advertisement