Anda di sini

120 sekolah daif akan dibaik pulih, dibina semula

Advertisement
SEBAHAGIAN Ahli Parlimen dan Adun yang hadir merakam gambar kenangan bersama Dr Yusof (lima kiri) selepas sesi taklimat.
SEBAHAGIAN Ahli Parlimen dan Adun yang hadir merakam gambar kenangan bersama Dr Yusof (lima kiri) selepas sesi taklimat.

KOTA KINABALU: Sebanyak 120 sekolah yang termasuk dalam Kategori Sekolah Daif (KSD) akan dibaik pulih dan dibina semula tahun ini, melibatkan anggaran peruntukan sebanyak RM400 juta.

Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Datuk Dr Yusof Yacob berkata, projek fasa pertama membaik pulih sekolah KSD 1,2 dan 3 itu akan dilaksanakan secara berperingkat mengikut keperluan semasa.

"Peruntukan yang diluluskan adalah RM1 bilion untuk tahun 2018 dan 2019 yang mana setakat ini telahpun dilaksanakan peruntukannya adalah sekitar RM4OO juta.

"Jadi kita berharap kementerian akan meneruskan rancangan ini supaya peruntukan ini diberikan dan kita laksanakan sekolah untuk menggantikan bangunan- bangunan sekolah daif yang ada di Sabah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Taklimat Tentang Isu dan Matlamat Pendidikan di Sabah kepada Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), di Wisma Bandaraya, di sini hari ini.

Dr Yusof berkata, kementeriannya juga menyasarkan untuk membaik pulih 120 sekolah KSD yang akan dilaksanakan tahun hadapan bagi fasa kedua.

Katanya, baik pulih bangunan sekolah itu akan melibatkan baki peruntukan yang diluluskan iaitu dianggarkan RM500 juta.

"Jadi tahun depan dianggarkan lagi projek baik pulih sekolah KSD sebanyak 120 buat mengikut bajet yang ada.

"Di pedalaman kos tinggi kerana ada masalah logistik dan sebagainya, jadi kita berharap bajet RM500 juta itu dapat dilaksanakan," katanya.

Ditanya mengenai isu kekurangan guru di negeri ini, beliau berkata, ia masih pada tahap mencukupi meskipun ada beberapa kawasan atau daerah yang kurang bilangan guru dari yang sepatutnya.

Katanya, hal ini disebabkan jawatan sedia ada tidak diisi dan taburan penempatan guru di kawasan Bandar dan luar Bandar tidak seimbang.

"Sebab itu kalau kita lihat ada daerah atau kawasan yang mempunyai bilangan lebih guru dari sepatutnya dan ada setengah daerah yang kurang.

"Jadi ini akan kita tangani supaya penempatan guru- guru ini seimbang mengikut keperluan," katanya.

Tambahnya lagi, kekurangan guru subjek agama dan bahasa inggeris juga perlu diatasi memandangkan pengambilan guru kedua- dua subjek itu masih diperlukan.

Terdahulu, taklimat berkenaan diadakan bagi memberi penjelasan dan pemahaman mengenai struktur Kementerian serta Jabatan Pendidikan Negeri Sabah selain isu berkaitan pendidikan.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Dr Jaujan Sambakong, Pembantu Menteri Pelajaran dan Inovasi Sabah Jenifer Lasimbang dan Pengarah Pendidikan Negeri Sabah Datuk Maimunah Suhaibul.

  • oleh
  • Advertisement