Anda di sini

Pemuda dipenjara setahun kerana rosakkan tayar kereta

Advertisement

SIBU: Gara-gara merosakkan tayar sebuah kenderaan, seorang pemuda dijatuhkan hukuman setahun penjara oleh Mahkamah Majistret di sini, semalam.

Majistret Muhammad Faizal Che Saad menjatuhkan hukuman itu setelah mendengar pengakuan bersalah tertuduh yang dikenali sebagai Broudee, 24.

Mengikut pertuduhan, Broudee didakwa merosakkan tayar kereta hadapan dan belakang milik Wong Ing Chuong, 53, menyebabkan mangsa kerugian sebanyak RM46.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu pada 22 Julai 2018, kira-kira jam 2 pagi di hadapan sebuah rumah sewa di Jalan Rambutan.

Untuk pertuduhan itu, Broudee didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara tidak kurang satu tahun serta tidak lebih lima tahun, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, kira-kira jam 2 pagi, Wong menyedari sebuah motosikal milik tertuduh yang menyewa di bahagian bawah rumah telah memasuki kawasan rumahnya.

Tidak lama kemudian, Wong melihat tertuduh bertindak mencucuk tayar hadapan dan belakang sebelah kanan kereta miliknya.

Namun, Wong tidak berani menegur perbuatan tertuduh kerana takut berlaku sebarang perkara yang tidak diingini.

Kira-kira jam 7 pagi, Wong memeriksa keadaan tayar keretanya sebelum menukar tiub tayar di sebuah bengkel. Dia kemudian membuat laporan polis, yang membawa kepada penahanan tertuduh.

Siasatan mendapati tertuduh merosakkan tayar kereta mangsa dengan menggunakan paku. Tertuduh berbuat demikian disebabkan marah apabila mangsa memberi amaran kepada tertuduh agar tidak lagi datang ke rumah sewanya.

Advertisement