Anda di sini

Kembar kekal bersalah samun, hukuman penjara dikurangkan

Advertisement

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini semalam mengurangkan hukuman penjara daripada tujuh tahun kepada lima tahun terhadap sepasang kembar lelaki yang didapati bersalah menyamun seorang pelajar lelaki warga Bangladesh, dua tahun lalu.

Hakim Datuk Azman Abdullah membuat keputusan itu terhadap A. Thanabalan dan A. Thanaselan, 21, selepas membenarkan rayuan mereka terhadap hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Sesyen pada 28 Dis 2017.

Hakim Azman bagaimanapun mengekalkan hukuman dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen.

“Kamu masih muda. Semoga dengan hukuman ini kamu berdua berubah dan insaf serta menjadi insan yang lebih baik,” katanya.

 Mahkamah Sesyen menjatuhkan hukuman penjara tujuh tahun dan dua sebatan ke atas pasangan kembar itu selepas mendapati mereka bersalah atas pertuduhan melakukan samun terhadap seorang pelajar warga Bangladesh pada akhir kes pembelaan.

Terdahulu, peguam Muhamad Razman Sahat dan Muhammad Amin Abdullah yang mewakili kedua-dua tertuduh memohon hukuman penjara dikurangkan atas alasan anak-anak guamnya masih muda.

Timbalan Pendakwa Raya Aznika Mohd Anas dalam rayuan silang oleh pendakwaan pula memohon hukuman penjara itu ditambah.

Thanabalan dan Thanaselan bersama dua lagi yang masih bebas didakwa menyamun Kawser Ibne, 23, menggunakan kereta sewa iaitu sebuah kereta jenis Proton Saga dan mengambil telefon bimbit, dompet yang mengandungi kad pengeluaran wang automatik (ATM) Bank CIMB dan wang tunai RM300 di Jalan Bukit Pantai, Brickfields di sini pada jam 12.30 tengah malam, 10 Nov 2016.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan yang dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.   

Difahamkan kedua-dua tertuduh membawa mangsa ke satu tempat berhampiran lorong bawah tanah di Sungai Besi sebelum membogelkan mangsa dan seterusnya bertindak menyamun warga Bangladesh itu.

Mangsa kemudian dibantu oleh seorang pekerja yang berada di situ yang meminjamkannya pakaian sebelum membuat laporan polis. — Bernama

Advertisement