Anda di sini

Kakitangan mahkamah didakwa gubah wang haram RM363,668

Advertisement
 Shahnaz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM363,668. — Gambar Bernama
KES MAHKAMAH: Shahnaz dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Shah Alam atas lima pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM363,668. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Seorang kakitangan Mahkamah Kuala Lumpur dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini semalam atas lima pertuduhan terlibat dalam pengubahan wang haram berjumlah RM363,668, antara April 2015 sehingga Januari 2016.

Tertuduh Shahnaz Khan Kamarzaman, 37, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas kelima-lima pertuduhan dibacakan terhadapnya oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Mohd Sabri Ismail.

Bagi tuduhan pertama, pada 15 April 2015, lelaki itu didakwa melibatkan diri dalam transaksi membabitkan hasil daripada aktiviti haram iaitu pemindahan wang berjumlah RM10,000 dari akaun Maybank milik individu bernama Tan Yi Zin ke akaun milik syarikat pemaju, Triple Equity Sdn Bhd.

Ia adalah bagi tujuan pembelian sebuah rumah di Bandar Saujana Putra, Jenjarom dekat sini, yang mana wang berkenaan merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Bagi tuduhan kedua dan ketiga, Shahnaz Khan didakwa memindahkan wang berjumlah RM35,500 dengan menggunakan cek ke akaun milik Triple Equity pada 6 Mei 2015 dan didakwa memindahkan wang berjumlah RM272,708.80 dari akaun miliknya ke akaun milik Triple Equity pada 29 Jun 2015, kedua-duanya bagi tujuan yang sama.

Bagi tuduhan keempat, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM22,729.20 ke dalam akaun milik Triple Equity sementara bagi tuduhan kelima, tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM22,730 dari akaun milik seorang individu bernama Mincly Maat  ke akaun milik Triple Equity, kedua-dua juga bagi tujuan yang sama.

Shahnaz Khan didakwa melakukan kesemua kesalahan berkenaan di Public Bank cawangan Taman Sri Muda di sini, serta dituduh mengikut Seksyen 4 (1)(b) dan Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Aktiviti Haram 2001 (Akta 613).

Jika sabit kesalahan, dia boleh dihukum penjara tidak melebihi 15 tahun dan denda lima kali ganda nilai hasil daripada aktiviti haram atau RM5 juta, yang mana lebih tinggi.

Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Mohd Firdaus Abu Hanipah mencadangkan agar tertuduh dibebaskan dengan jaminan RM50,000 serta seorang penjamin.

Peguam P. G Cyril yang mewakili Shahnaz Khan bagaimanapun memohon mahkamah memberikan jaminan yang rendah kerana anak guamnya telah membayar wang ikat jamin RM35,000 bagi 18 pertuduhan pecah amanah yang dihadapinya di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, semalam.

“Tertuduh tidak mempunyai pendapatan tetap selepas digantung tugas sejak 2015 dan terpaksa menanggung dua anak serta isterinya,” katanya.

Mohd Sabri kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan membenarkan pemohonan pihak pendakwaan untuk memindahkan kes itu ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur. — Bernama

Advertisement