Anda di sini

Pengiktirafan perjuangan komunis satu penghinaan

Advertisement

PUTRAJAYA: Sebarang pengiktirafan terhadap perjuangan pengganas komunis termasuk memuatkan perjuangan puak berhaluan kiri itu dalam buku teks Sejarah merupakan satu penghinaan kepada perwira negara yang berjuang untuk kemerdekaan negara, kata seorang bekas pegawai tentera.

Brig.Jen (B) Datuk Jamil Rais Abdullah berkata ramai perwira negara terkorban selain ada yang cedera parah sehingga mengalami kecacatan kekal ketika berjuang membanteras anasir komunis di negara ini.

Katanya tempoh darurat 1948-1960 menyaksikan ramai anggota tentera gugur dalam pertempuran dengan komunis.

“Kami rasai kehilangan (rakan-rakan kami). Ramai kawan-kawan saya terbunuh...  (Justeru) Saya tidak boleh terima (pengiktirafan komunis dan dimasukkan dalam  buku teks Sejarah). Tindakan ini adalah tidak wajar kerana ia akan mengguris perasaan para pejuang dan perwira negara. Mana boleh sewenang-wenangnya lupa perjuangan rakan-rakan sebelum ini?

“Kami mempertaruhkan nyawa dan berjuang habis-habisan kerana ia adalah semangat kami, demi kedaulatan negara,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri istiadat perbarisan bersempena sambutan Hari Pahlawan 2018 di Dataran Pahlawan Negara, di sini semalam.

Jamil antara anggota tentera yang terlibat dalam ‘Operasi Iblis’ di kawasan hutan Ulu Kinta, Perak yang dilancarkan oleh Markas Briged Kedua lnfantri Malaysia pada 1971, bertujuan mencari dan memusnahkan Unit Penggempur Ke-5 Pasukan Gerakan Komunis (PGK) yang beroperasi merangkumi kawasan Bukit Berapit, Air Kala, Hutan Simpan Kinta dan Slim River.

Baru-baru ini media melaporkan wacana ‘Should We Rewrite Our History Book?’ (Haruskah Kita Menulis Semula Buku Sejarah?) membincangkan peranan komunis sebagai pejuang kemerdekaan dan membangkitkan persoalan sama ada kerajaan perlu menulis semula sejarah zaman darurat.

Pada forum tersebut, beberapa panelis menggesa kerajaan Pakatan Harapan menilai semula buku teks sejarah dan memasukkan fakta mengenai perjuangan kemerdekaan puak berhaluan kiri dalam naskhah rujukan utama pelajar sekolah.

Sementara itu, Kapten (B) Datuk Azmi Abdul Hamid berkata usaha mengiktiraf pengganas komunis akan mengelirukan rakyat dan golongan muda.

“Saya tidak setuju (pengiktirafan perjuangan komunis) pada saya tindakan itu melampau,” katanya yang juga pernah terlibat dalam Operasi Iblis 1971.

Sementara itu, Lt. Kol (B) Harbans Singh berkata pengganas komunis telah menyeksa dan membunuh anggota-anggota tentera negara dengan kejam.

Beliau memberi contoh Peristiwa Gubir 1976 yang menyaksikan anggota Angkatan Tentera Malaysia terbunuh dalam pertempuran.

“Mereka cacatkan mukanya dan memotong buah zakar seorang pegawai. Jadi bagaimana kita hendak iktiraf perjuangan komunis?

“Sebarang cadangan untuk memasukkan fakta perjuangan pengganas ke dalam buku teks harus ditolak sama sekali oleh semua pihak,” katanya. — Bernama

Advertisement