Anda di sini

Kementerian Utiliti nafi dakwaan Sungai Sadong dicemari bahan beracun

Advertisement

KUCHING: Kementerian Utiliti menafikan dakwaan pembangkang mengatakan Sungai Sadong, yang merupakan sumber air untuk bahagian Serian dicemari bahan beracun.

Kementerian itu menerusi kenyataan akhbar semalam berkata berdasarkan keputusan ujian makmal, sumber air berkenaan tidak tercemar seperti didakwa.

Kementerian Utiliti juga menyangkal laporan portal akhbar tempatan memuatkan artikel berkenaan bertarikh 20 Jun 2018.

“Berdasarkan sampel ujian diperoleh daripada makmal swasta, keputusan menunjukkan air mentah dan terawat dari Loji Rawatan Air Slabi tidak melanggar piawaian dan spesifikasi Standard Kualiti Air Minum seperti ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Tidak terdapat unsur-unsur agro-kimia seperti racun perosak, ammonia dan anion dikesan dalam sampel air mentah dan terawat,” jelas kementerian itu.

Kementerian itu menambah: “Keputusan ujian makmal untuk kategori racun rumput dan perosak adalah di bawah nilai maksimum yang boleh diterima ditetapkan dalam Standard Kualiti Air Minum (2004). Kepekatan keracunan rumput yang diperiksa dalam air mentah juga di bawah nilai maksimum yang boleh diterima (<0.03 mg / l).”

Kementerian Utiliti menerusi Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) berpuas hati dengan ujian dilakukan oleh makmal di mana tiada pencemaran dikesan berdasarkan keputusan sampen diambil dan diuji pada 25 Jun 2018.

“Oleh itu, boleh disimpulkan sungai tersebut selamat digunakan sebagai sumber air untuk Loji Rawatan Air Slabi.

“Menteri Utiliti Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom sangat mengambil berat mengenai isu ini lebih-lebih lagi berkaitan keselamatan penduduk,” tegas kenyataan itu.

Oleh itu, Dr Rundi mengarahkan JBALB sentiasa memantau bekalan air mentah dan terawat di kawasan tersebut dari semasa ke semasa bersama-sama agensi lain yang bertanggungjawab untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan air untuk penduduk di Serian.

Advertisement