Anda di sini

Jamal Yunos bebas dengan ikat jamin RM20,000

Advertisement
 Jamal (tengah) diringi anggota polis ketika hadir ke mahkamah bagi rayuan jaminan kes pertuduhan di bawah seksyen 224 dan 448 kanun keseksaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam. — Gambar Bernama
BUAT RAYUAN: Jamal (tengah) diringi anggota polis ketika hadir ke mahkamah bagi rayuan jaminan kes pertuduhan di bawah seksyen 224 dan 448 kanun keseksaan di Mahkamah Tinggi Shah Alam semalam. — Gambar Bernama

SHAH ALAM: Selepas hampir sebulan ditahan di Penjara Sungai Buloh, Ketua UMNO Sungai Besar Datuk Seri Jamal Md Yunos semalam dibebaskan dengan ikat jamin RM20,000 dengan tiga penjamin berlainan oleh Mahkamah Tinggi di sini.

Hakim Datuk Yazid Mustafa membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Jamal yang diwakili peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menyemak keputusan Mahkamah Majistret Ampang kelmarin yang membatalkan perintah ikat jamin yang diberikan kepada Jamal bagi dua pertuduhan menceroboh premis.

Yazid dalam penghakimannya berkata mengambil kira fakta dan keadaan kes bagi  pertuduhan melarikan diri dari hospital, mahkamah membenarkan Jamal, 48, diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Hakim itu turut bersetuju dengan hujahan peguam bahawa bagi kesalahan menurut Seksyen 448 Kanun Keseksaan iaitu dua pertuduhan menceroboh premis dan juga berdasarkan kes lain di mahkamah, beliau mendapati majistret tidak mempunyai sebarang budi bicara untuk membatalkan jaminan yang telah diberikan walaupun mendapati penjelasan pemohon (Jamal) tidak memuaskan kelmarin.

“Berasaskan alasan ini, saya membenarkan jaminan sebanyak RM5,000 bagi setiap satu kes di bawah Seksyen 448 dengan dua orang penjamin yang berlainan,” katanya.

Selain Muhammad Shafee, Jamal turut diwakili Datuk Mohd Imran Tamrin manakala Timbalan Pendakwa Raya Mohd Fairus Johari dan Fatin Hadni Khairuddin mewakili pihak pendakwaan.

Jamal membayar wang jaminan itu dan dibebaskan semalam.

Kelmarin, Mahkamah Majistret Ampang membatalkan perintah ikat jamin terhadap Jamal bagi dua pertuduhan menceroboh dua premis perjudian di Taman Kosas, di sini, dua tahun lalu.

Bagi tuduhan menceroboh, Jamal didakwa bersama-sama empat lagi yang masih bebas didapati melakukan pencerobohan di Kedai Happy Toys, No. 23, Jalan Kosas 1/2, Taman Kosas, di sini.

Dia juga didakwa bersama seorang yang telah dituduh dan seorang lagi yang masih bebas melakukan perbuatan sama di Kedai Starcom Trading and Services No. 23&25, Jalan Kosas 13, di taman sama.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa dilakukan antara  3.30 dan 3.40 petang, 29 Dis 2016 mengikut Seksyen 448 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda sehingga RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Pada 5 Julai lalu, Jamal mengaku tidak bersalah atas tuduhan melarikan diri daripada jagaan pihak polis yang menahannya secara sah di sisi undang-undang mengikut Seksyen 224 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan. — Bernama

Advertisement