Anda di sini

Dua lagi direman kes tuntutan palsu babitkan BTN Sarawak

Advertisement
Pasangan suami isteri dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini - Foto Bernama
Pasangan suami isteri dibawa anggota Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Mahkamah Majistret Kuching, hari ini - Foto Bernama


KUCHING: Dua lagi individu direman bagi membantu siasatan berhubung tuntutan palsu yang dikaitkan dengan perkhidmatan atau pembekalan kepada Biro Tatanegara Sarawak (BTN), di sini hari ini.

Perintah tahanan reman enam hari terhadap pasangan suami isteri berumur 47 dan 53 tahun itu dikeluarkan Majistret Muhammad Syukri Mokhtar yang membenarkan permohonan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang diwakili oleh Pegawai Pendakwa Dzulkarnian Rosan Hasbi.

Kedua-dua mereka, yang ditahan antara pukul 3 dan 4.20 petang di pejabat SPRM Sarawak di sini semalam, adalah individu keenam dan ketujuh yang direman bagi membantu siasatan berhubung kes itu.

Minggu lepas, media melaporkan tiga lelaki dan dua wanita, termasuk dua yang berstatus bekas Penolong Pengarah Kanan BTN Sarawak ditahan reman selama lima hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 18 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009.

Beberapa media melaporkan mereka adalah antara yang dipercayai bersubahat mengemukakan dokumen yang mengandungi butiran palsu untuk membuat tuntutan pembayaran kerja, membabitkan 43 syarikat di seluruh Sarawak.

Menurut laporan media, siasatan mendapati kira-kira 70 peratus daripada perkhidmatan atau pembekalan yang didakwa dilaksanakan syarikat terbabit adalah tidak wujud atau tidak dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan. - Bernama
 

Advertisement