Anda di sini

Usman nekad lompat jambatan ketika tongkang rempuh rumah

Advertisement
 Usman menunjukkan lokasinya melompat ke jambatan yang sudah terputus akibat dihimpit oleh rumahnya yang sudah terpisah dari tiang asalnya.
MUSNAH: Usman menunjukkan lokasinya melompat ke jambatan yang sudah terputus akibat dihimpit oleh rumahnya yang sudah terpisah dari tiang asalnya.

TAWAU: “Saya hanya fikir untuk menyelamatkan diri ketika tongkang sudah merempuh rumah,” kata Usman Kasim, 45, mangsa kes rumah ranap di Kampung Pukat Tanjung Batu, Jambatan Gelama, ketika ditemui pada Ahad.

Usman salah seorang daripada 25 mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat insiden itu, terpaksa melompat dari luar rumahnya ke jambatan untuk menyelamatkan diri.

Menceritakan pengalamannya, ayah kepada lima anak itu berkata, kakinya terpeleset dan dadanya ‘terhentak’ pada jambatan dalam cubaannya untuk melompat ke jambatan berkenaan.

Dia kemudian terjatuh ke laut dan terpaksa berpaut pada salah satu tiang jambatan untuk menyelamatkan diri sambil menyaksikan rumahnya ranap dirempuh tongkang terbabit.

Dalam situasi genting itu, tongkang terbabit juga melanggar dua lagi rumah berhampiran, manakala Usman diselamatkan anak keduanya yang menarik ke atas jambatan.

“Saya hanya ada masa dua hingga tiga minit untuk menyelamatkan diri pada masa itu,” katanya, sambil mendedahkan jambatan terbabit juga rosak akibat dihimpit rumahnya.

Menurutnya, detik cemas itu berlaku selepas dia bertindak masuk semula ke rumah untuk memeriksa keadaan selepas memastikan kesemua anaknya sudah keluar dengan selamat.

Selepas masuk semula ke rumahnya, dia mendapati rumahnya bergoyang seperti dilanda gempa bumi yang kuat sebelum nekad melompat ke jambatan berhampiran rumahnya.

”Pada masa itu berlaku hujan lebat, angin kencang serta arus ombak yang deras ditambah paras laut tinggi dan hanya dipisahkan kira-kira satu meter sahaja dari lantai rumah.

“Saya cuba melompat ke jambatan tetapi tergelincir jatuh kerana permukaannya yang licin,” katanya, namun bersyukur kerana tidak ada kes kematian berlaku dalam kes itu.

Bagaimanapun, beliau akui berasa sedih apabila mengenangkan rumah yang dibangunkannya semenjak 14 tahun lepas musnah sekelip mata akibat insiden terbabit.

Terdahulu, kejadian itu berlaku selepas Usman baharu sahaja bersiap untuk keluar menjual ikan seperti lazimnya, sebelum bunyi bising tongkang hanyut mengejutkannya.

“Kejadian yang berlaku diharap menjadi pengajaran supaya jangan lagi ada tongkang atau bot yang berlabuh berhampiran dengan kawasan kampung seperti kampung kami.

“Tempat berlabuh sudah ada di kawasan Merotai,” katanya, yang turut berterima kasih kepada syarikat terlibat kerana sudah bersetuju untuk membina semula ketiga-tiga rumah.

Beliau berkata, pihak syarikat dan juragan terlibat sudah meminta maaf kepada ketiga-tiga tuan rumah akibat kejadian itu semasa membuat laporan polis di IPD Tawau.

Mengikut siasatan awal polis, juragan tidur dipercayai menjadi punca berlakunya kejadian tongkang melanggar tiga rumah di kampung terbabit pada awal pagi Sabtu.

Advertisement