Anda di sini

Rompak berkumpulan: Warga asing kena 10 tahun, satu sebat

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki warga asing dikenakan penjara sepuluh tahun dan satu sebat, oleh Mahkamah Sesyen di sini, atas kesalahan rompak berkumpulan bersenjata.

Hakim Azreena Aziz menjatuhkan hukuman itu terhadap Maslan Majinin, yang disabitkan mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 397 kanun sama.

Tertuduh mengaku salah merompak seorang lelaki berusia 22 tahun, dengan menggunakan sebilah parang yang boleh menyebabkan kematian.

Semasa melakukan kesalahan itu, tertuduh bersama dengan seorang yang masih bebas, pada 14 Jun jam 9.04 malam, di Teluk Likas, di sini.
Hukuman yang diperuntukkan, penjara selama tempoh 20 tahun dan sebat.

Berdasarkan fakta kes, pada hari kejadian pengadu bersama adiknya yang sedang memancing dihampiri dua lelaki.

Seorang daripada mereka bertanya, sama ada melihat isteri rakannya, beliau mengatakan tidak dan mencadangkan menemui polis peronda.

Tiba-tiba, tertuduh mengacukan parang sementara rakannya memegang adik pengadu, lalu meminta wang.

MASLAN.
MASLAN.

Pengadu merayu agar tidak dicederakan, pada masa yang sama adiknya berjaya melepaskan diri lalu berlari ke arah tertuduh.

Pergelutan berlaku antara tertuduh dengan adiknya, sehingga pengadu dapat mencapai objek keras dan memukul tertuduh.

Tertuduh berjaya ditangkap polis pada 16 Jun, semasa mendapatkan rawatan di hospital akibat kecederaan daripada kejadian terbabit.

Semasa rayuan, Maslan yang tidak diwakili peguam memohon hukumannya diringankan.

Namun Timbalan Pendakwaraya Husna Abdul Halim menegaskan, jenayah yang dilakukan sangat serius.

Tambahnya, tertuduh juga menggunakan sebilah parang dan melakukan rompakan di tempat awam.

Beliau juga meminta tertuduh yang tidak memiliki dokumen diri, dirujuk ke Jabatan Imigresen setelah tamat tempoh hukuman.

  • oleh
  • Advertisement