Anda di sini

Dipenjara 10 tahun, sebat guna dan miliki dadah

Advertisement
NARBODDY (kiri) mendengar penjelasan Rahimah.
NARBODDY (kiri) mendengar penjelasan Rahimah.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki yang mempunyai rekod jenayah lampau, dikenakan penjara sepuluh tahun dan empat sebat, atas kesalahan menggunakan dan memiliki dadah.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menjatuhkan hukuman itu terhadap Narboddy Noorsatah, 35, selepas menukar pengakuan kepada bersalah.

Sepatutnya pada Selasa untuk prosiding perbicaraan, terhadap tertuduh yang didakwa atas dua pertuduhan terbabit.

Pada 6 Januari tahun lalu jam 5 pagi di sebuah rumah, daerah Kudat, tertuduh memiliki dadah seberat 0.81 gram.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, memperuntukkan denda maksimum RM100,000 atau penjara selama lima tahun, atau kedua-duanya.

Pada hari dan di tempat sama, tertuduh sekali lagi didapati menggunakan dadah yang mana disabitkan mengikut Seksyen 15 (1) (a) akta sama.

Oleh kerana tertuduh mempunyai dua rekod kesalahan lampau, atas kesalahan sama, tertuduh dihukum mengikut Seksyen 39 C akta sama.

Hukuman yang diperuntukkan penjara minimum lima tahun dan maksimum tujuh tahun, serta tidak kurang tiga sebatan.

Bagi kesalahan pertama, Narboddy dikenakan penjara dua tahun, manakala kedua penjara selama tempoh lapan tahun dan empat sebat.

Namun mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani kedua-dua hukuman terbabit, bermula dari tarikh tangkap.

Ainul juga memerintahkan tertuduh dikenakan pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK), selama tiga tahun setelah tamat tempoh pemenjaraan.

Terdahulu, semasa rayuan peguam Rahimah M Jarin yang mewakili tertuduh, memohon hukuman ringan dikenakan terhadap anak guamnya.

Tambahnya, tertuduh yang menanggung dua isteri dan tujuh anak, sudah menyesal atas kesalahan yang dilakukannya.

Timbalan Pendakwaraya Rustam Sanip menegaskan, tempoh pemenjaraan yang lama harus dikenakan, dengan mengambil kira kekerapan jenayah seumpama itu pada masa kini.

Selain itu, beliau meminta mahkamah mempertimbangkan risiko kepada masyarakat, sekiranya kesalahan seperti itu tidak dibendung.

  • oleh
  • Advertisement