Anda di sini

Program Outreach Sains Sekolah Luar Bandar Ke-5 dapat sambutan

Advertisement
 Poon (duduk, tengah) bersama tetamu jemputan lain beraksi dengan para murid yang terlibat dalam program diadakan baru-baru ini.
MERIAH: Poon (duduk, tengah) bersama tetamu jemputan lain beraksi dengan para murid yang terlibat dalam program diadakan baru-baru ini.

aPROGRAM Outreach Sains Sekolah Luar Bandar Ke-5 berlangsung dengan jayanya apabila menarik penyertaan 20 sekolah.

Program anjuran Jabatan Sains Institut Pendidikan Guru Kampus Tun Abdul Razak (IPGKTAR) pada kali ini diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) St Dominic Pichin di Serian baru-baru ini.

Ia merupakan anjuran Jabatan Sains IPGKTAR bersama Yayasan Sarawak dan usaha kolaboratif antara Jabatan Sains IPGKTAR dengan sekolah rendah yang dipilih sebagai tuan rumah iaitu SK St Dominic Pichin, Serian.

Program tersebut menerima sambutan hebat daripada 20 sekolah jemputan.

Bilangan itu ialah satu catatan rekod dari segi jumlah sekolah yang pernah menyertai program anjuran Jabatan Sains IPGKTAR sejak 2014 itu.

Seramai 60 peserta jemputan yang terdiri daripada murid tahun lima telah menyertai aktiviti Program Outreach manakala lebih kurang 270 guru dan murid telah melawat pameran sains.    

Objektif utama program berkenaan ialah menyediakan peluang dan pengalaman belajar sains secara menyeronokkan di luar daripada rutin pembelajaran dalam bilik darjah.

Selain itu, ia juga bertujuan memupuk minat murid sekolah rendah luar bandar terhadap sains.  

Program Outreach Sains yang telah berlangsung itu menyediakan pelbagai aktiviti seperti pameran sains yang mana murid diberi peluang untuk berinteraksi dengan bahan secara ‘hands-on’ dan ‘minds-on’ di samping memahami konsep sains yang berkaitan.

Selain itu, peserta jemputan berpeluang mengikuti dua aktiviti inovasi iaitu ‘Landasan Inovasi’ dan ‘Saya Perkasa’ yang mana mereka diberi peluang untuk membina landasan dan struktur menggunakan bahan buangan.

Kedua-dua akiviti merupakan aktiviti pertandingan bertujuan menguji kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT), kreativiti, kemahiran penyelesaian masalah dan semangat berpasukan peserta.

Bagi aktiviti ‘Landasan Inovasi’, pemenang tempat pertama ialah SK Tebedu, tempat kedua dimenangi SK Sejijag dan tempat ketiga jatuh kepada SK Gahat Mawang.

Bagi aktiviti ‘Saya Perkasa’, pula tempat pertama dimenangi SK Sg Sameran, tempat kedua dimenangi oleh SK Tema dan tempat ketiga SK Parun Suan.

Pengisian pada sebelah petang ialah Bengkel Teknik Menjawab Soalan UPSR dan pendedahan tersebut sesuai sekali bagi murid tahun lima sebagai persediaan awal mereka menjawab soalan-soalan berbentuk UPSR.

 Kanak-kanak prasekolah tidak ketinggalan mencuba aktiviti ‘hands-on’ yang turut diadakan.
MENCUBA: Kanak-kanak prasekolah tidak ketinggalan mencuba aktiviti ‘hands-on’ yang turut diadakan.

Dalam ucapan perasmian penutupan, wakil Pengarah IPGKTAR Dr Poon Cheng Yong menyeru agar kerjasama dan usaha kolaboratif sedemikian diteruskan pada  masa depan.

Beliau merakamkan jutaan terima kasih kepada semua sekolah yang terlibat, PPD Serian dan pihak pengurusan SK St Dominic Pichin atas kerjasama dan sokongan yang diberi.

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada pihak Yayasan Sarawak atas tajaan yang diberi untuk menjayakan Program Outreach Sekolah Luar Bandar 2018.

  • oleh
  • Advertisement