Anda di sini

Murid Tahun 5 dan 6 LIS bertuah saksikan planet Marikh

Advertisement
SEBAHAGIAN murid Tahun 5 dan 6 yang menyaksikan planet Marikh menerusi teleskop di LIS, Sabtu lalu.
SEBAHAGIAN murid Tahun 5 dan 6 yang menyaksikan planet Marikh menerusi teleskop di LIS, Sabtu lalu.

LABUAN: Seramai 27 orang murid Labuan International School (LIS) bertuah kerana dapat menyaksikan planet Marikh pada 27 Julai dari pukul 8.30 hingga 11.30 malam dan seterusnya menyaksikan gerhana bulan penuh bermula 2 pagi hingga 6 pagi pada 28 Julai di Labuan International School.

Gerhana bulan pada kali ini adalah gerhana bulan paling lama pada abad ini.

Program ini bukan sahaja dapat mengukuhkan pengetahuan murid Tahun 5 dan 6 itu dalam silibus gerhana terkandung dalam silibus Tahun 6 KSSR malah mereka juga menimba pengalaman dalam mengendalikan teleskop.

Guru Sains Tahun 5 dan 6, Fadlin Aimuni berkata, program ini adalah salah satu aktiviti pembelajaran di luar bilik darjah dan mereka sangat bertuah kerana dapat menyaksikan sendiri fenomena alam ini dengan jelas.

Katanya, cerapan juga dibantu oleh sukarelawan yang berpengalaman dalam bidang astronomi di Labuan.

Selain daripada mencerap Marikh dan gerhana, murid-murid juga disediakan dengan aktiviti lain seperti pertandingan gear bulan, yang merupakan hasil inovasi oleh guru-guru Sekolah Antarabangsa Labuan bagi memastikan murid mengingati dan memahami fasa-fasa bulan dalam bentuk permainan.

Aktiviti cerapan berakhir sekitar jam 6 pagi dan murid bersurai pada jam 7 pagi.

Fadlin tidak lupa mengucapkan terima kasih kepada Pengetua LIS, Zainab Batin kerana sentiasa menggalakkan murid-murid mempelajari bidang baharu dengan bimbingan guru-guru.

Sementara itu, murid Tahun 5, Deemetri Freddy begitu teruja pertama kali melihat gerhana bulan penuh melalui teleskop.

“Saya sangat teruja melihat gerhana bulan penuh menggunakan teleskop. Ianya satu pengalaman yang sukar dilupakan kerana gerhana itu merupakan gerhana paling lama dalam abad ini,”katanya.

Advertisement