Anda di sini

Masih ramai tidak punya kewarganegaraan

Advertisement
NANI (tengah) menunjukkan borang bancian yang digunakan untuk mendapatkan data.
NANI (tengah) menunjukkan borang bancian yang digunakan untuk mendapatkan data.

KOTA KINABALU: Masih ramai individu dalam negeri ini tidak mempunyai kewarganegaraan termasuk rakyat tempatan.

Yang Dipertua Gabungan Badan-Badan Bukan Kerajaan (NGO) Sabah Datuk Nani Sakam berkata, satu usaha perlu dilakukan kerajaan untuk menyelesaikan masalah itu secara tuntas.

"Bancian yang dilakukan gabungan ini telah tamat pada hari ini (30 Julai) sejak ia mula dilakukan 29 Jun lalu.

"Pendataan yang dilakukan menunjukkan lebih kurang 60,000 penduduk di seluruh Sabah masih berstatus tidak mempunyai kewarganegaraan," katanya.

Beliau berkata, mereka termasuklah masyarakat luar seperti dari Filipina dan Indonesia yang mana anak mereka lahir di sini tidak mempunyai warganegara.

Katanya, ramai juga dalam kalangan jumlah itu adalah orang tempatan Sabah yang tinggal jauh di dalam pedalaman.

"Antara faktor utama khususnya mereka yang tinggal di pedalaman adalah anak-anak tidak dilahirkan di hospital atau bidan kampung.

"Lokasi yang sangat jauh dengan pekan dan kebanyakkan penduduk pedalaman tidak memandang serius mengenai pentingnya untuk mendapatkan sijil dan dokumen pengenalan diri," katanya.

Selain itu katanya, bagi anak-anak yang tidak mempunyai warganegara, keadaan itu didorang oleh faktor ibu bapa mereka tidak mendapatkan surat bernikah.

Katanya, selepas ini sesiapa yang menggunakan nama gabungan itu untuk mendapatkan bancian adalah tidak sah.

"Kita hanya memperjuangkan mereka yang lahir di sini dan tidak mempunyai kewarganegaraan, kita tidak ambil peduli mengenai Pendatang Tanpa Izin (PTI) kerana itu adalah tanggungjawab kerajaan untuk menghantar mereka pulang.

"Sebanyak 29 NGO yang terdiri daripada sekurang-kurangnya 29,000 ahli telah melaksanakan tugas bancian ini di seluruh negeri dalam sebulan.

"Kita selepas ini akan menyerahkan data yang dikumpul kepada kerajaan dalam tempoh sebulan," katanya.

Katanya lagi, berdasarkan statistik yang dikeluarkan Kementerian Dalam Negeri, sekurang-kurangnya terdapat 800,000 sehingga 1 juta orang di Sabah tidak mempunyai sijil pengenalan.

  • oleh
  • Advertisement