Anda di sini

Kaedah SRI tingkat hasil padi, pelihara alam sekitar

Advertisement
 Para peserta melawat plot SRI milik Baru Agung dari Long Langai.
PRAKTIKAL: Para peserta melawat plot SRI milik Baru Agung dari Long Langai.
 Para peserta yang menyertai sesi latihan bengkel SRI.
FOKUS: Para peserta yang menyertai sesi latihan bengkel SRI.

PARA petani digesa mengamalkan kaedah yang mampan dipanggil ‘System of Rice Intensification’ (SRI), yang dijangka akan meningkatkan hasil sehingga tiga kali ganda dan pada masa sama memelihara alam sekitar.

SRI yang diperkenalkan di Madagascar pada awal 1980-an telah diterima pakai oleh pertani di lebih daripada 70 negara termasuk di rantau ASEAN, kata Kapten (B) Zakaria Kamantasha yang menjalankan ‘SRI Lovely Farm’ di Kedah.

Beliau berkata demikian semasa sesi latihan SRI untuk penduduk Long Langai di Ba’Kelalan  baru-baru ini, menerusi kenyataan akhbar yang dikeluarkan baru-baru ini.

Bagaimanapun, kata Zakaria, sebahagian petani di Malaysia hanya mula mengamalkan kaedah SRI  pada t2010 kerana majoriti tidak menerima kaedah tersebut termasuk beberapa agensi kerajaan.

Zakaria yang merupakan perintis SRI di Malaysia dan pelatih SRI di rantau ASEAN berkata, petani adalah orang penting kerana menyediakan makanan untuk keluarga mereka dan orang lain.

“Justeru, adalah penting untuk mempunyai petani yang baik dan beretika yang menghasilkan makanan yang selamat dan sihat untuk rakyat dengan menggunakan kaedah yang mampan dan organik seperti SRI sebagai jalan ke hadapan.

“Malah, kaedah ini turut membantu dalam memelihara alam sekitar,” katanya.

WWF-Malaysia mengadakan sesi latihan SRI selama dua hari pada 11 dan 12 Jun lalu.

Aktiviti ini dilakukan di bawah projek bertajuk ‘Melindungi Sungai dan Meningkatkan Kehidupan-Ba’Kelalan dan Long Semadoh, Sarawak’ yang disokong CIMB Islamic Bank dari 2017 hingga 2019.

Sesi latihan itu bertujuan memperkenalkan konsep SRI kepada petani di Long Langai dan mendidik mereka tentang bagaimana membuat tanaman tumbuhan organik.

Program itu turut disokong wakil dari Langit. Aco dan Bulan, tiga perusahaan sosial yang menyokong inisiatif komuniti di Ba’Kelalan dan Long Semadoh.

Advertisement