Anda di sini

Filem baru adik-beradik Coen turut tercalon di Festival Filem Venice

Advertisement
 Gambar fail menunjukkan Ryan Gosling (kanan) memeluk Damien Chazelle semasa diumumkan sebagai Pengarah Terbaik di Anugera Oscar pada awal tahun ini. Filem baharu Damien Chazelle, ‘First Man’, yang dibintangi pelakon dari Kanada, Ryan Gosling turut tercalon di festival filem Venice.   — Gambar Reuters
TURUT TERCALON: Gambar fail menunjukkan Ryan Gosling (kanan) memeluk Damien Chazelle semasa diumumkan sebagai Pengarah Terbaik di Anugera Oscar pada awal tahun ini. Filem baharu Damien Chazelle, ‘First Man’, yang dibintangi pelakon dari Kanada, Ryan Gosling turut tercalon di festival filem Venice. — Gambar Reuters

PEMBUAT filem Amerika yang luar biasa, adik-beradik Coen, menjadi penyertaan kejutan dalam senarai filem di Festival Filem Venice, yang diumumkan baru-baru ini, untuk mencalonkan filem koboi baharu mereka bagi anugerah Golden Lion.

‘The Ballad of Buster Scruggs’ bertanding untuk anugerah yang diidam-idamkan itu di samping 20 buah filem lain yang memaparkan barisan bintang Hollywood, termasuk Ryan Gosling, Natalie Portman dan Willem Dafoe.

Dibintangi Tim Blake Nelson, James Franco dan Liam Neeson, ‘The Ballad of Buster Scruggs’ memaparkan enam kisah tentang bahagian barat Amerika yang liar seperti yang diceritakan oleh Joel dan Ethan Coen.

Filem itu merupakan satu daripada dua filem koboi yang ditayangkan di Venice, dengan filem pengarah Perancis, Jacques Audiard, ‘The Sisters Brothers’, yang dibintangi Joaquin Phoenix dan Jake Gyllenhaal turut bertanding untuk hadiah utama.

Ia juga sebuah daripada beberapa buah filem yang sedang ditayangkan di Venice yang telah diangkat oleh khidmat striming Netflix.

Festival yang gilang-gemilang itu bermula pada 29 Ogos, dengan ‘First Man’ – filem baharu dari pengarah ‘La La Land’  yang memenangi anugerah Oscar, Damien Chazelle.

Filem itu, yang dibintangi pelakon dari Kanada, Ryan Gosling, menceritakan tentang kehidupan angkasawan Neil Armstrong pada zaman menuju ke tahun 1969, apabila dia menjadi lelaki pertama menjejakkan kaki di atas bulan.

- Filem Orson Welles yang belum siap -

Tidak dipaparkan dalam pemilihan rasmi, tetapi diramal akan berjaya di Majlis Anugerah Oscar, filem sulung yang diarah oleh pelakon dari Amerika Syarikat (AS), Bradley Cooper, ‘A Star is Born’, juga akan ditayangkan di pawagam glamor Lido di Venezia.

Cooper berlakon dalam filem itu di samping bintang pop AS, Lady Gaga.

Kedua-dua mereka turut menulis dan merakamkan lagu-lagu baharu untuk filem itu, iaitu pembikinan semula yang keempat bagi filem kisah cinta klasik dalam industri hiburan itu.

Salah satu acara yang paling dinanti-nantikan di festival itu adalah tayangan perdana dunia di luar pertandingan bagi filem terakhir Orson Welles yang dahulu belum siap, ‘The Other Side Of The Wind’.

Filem itu dalam keadaan terawang-awang selama berdekad-dekad selepas penggambaran awal dibuat antara 1970-76.

Pada waktu kematian Welles pada 1985, ia sama sekali belum siap, dan kes undang-undang yang rumit berhubung pemilikan filem itu – yang ditinggalkan dalam sebuah bilik besi di Paris – turut berlaku.

Kes itu hanya berakhir pada Mac 2017, apabila Netflix mengumumkan mereka akan mengedar filem itu, sekali gus membolehkan sebuah pasukan pasca penerbitan untuk akhirnya menyiapkannya hampir setengah abad selepas penggambaran bermula.

Filem itu merupakan satira bagi berlalunya pembikinan filem klasik di Hollywood dan ketibaan gelombang baharu di Amerika pada zaman 1970an.

Mengetuai juri pada tahun ini adalah Guillermo del Toro, pengarah filem ‘The Shape of the Water’ yang memenangi anugerah Golden Lion pada 2017 sebelum seterusnya memenangi kategori Filem Terbaik di Anugerah Akademi.

Pada April lalu, penganjur mengumumkan mereka akan memberi penghormatan kepada pengarah Kanada, David Cronenberg, dengan hadiah Golden Lion bagi Pencapaian Sepanjang Hayat. --— AFP

Advertisement