Anda di sini

Siti Nurhaliza, Faizal Tahir hakimi persembahan BBNU di ‘Big Stage’

Advertisement
__alt__

BARU-BARU ini, Astro telah memperkenalkan program ‘Big Stage’ iaitu sebuah pertandingan nyanyian berkonsepkan realiti menampilkan seangkatan bakat muda generasi alaf baharu yang kini popular dengan jolokan ‘Budak Baru Nak Up’ atau BBNU dalam kalangan penggiat industri seni tanah air.   

Ketua Strategi Kandungan & Inovasi Astro, Namanzee Harris berkata, “Dengan ‘Big Stage’ kami menyediakan satu platform kepada golongan ‘BBNU yang memiliki daya juang tinggi untuk membawa karya mereka yang selama ini cuma dipertontonkan menerusi alam maya ke alam realiti sebenar.”

Tambah beliau lagi, ‘Big Stage’ ini memberi mereka kebebasan untuk mencari sisi kreatif yang tersendiri agar mampu melonjakkan nilai jenama mereka ke peringkat yang lebih tinggi sekaligus membuktikan keberkesanan produk atau bakat yang mereka miliki, bukan sekadar tempelan untuk mengisi kuota industri yang berpaksikan trend semata-mata yang bersifat sementara.

Seramai 10 bintang BBNU yang terdiri daripada lima bintang lelaki dan lima bintang wanita bakal bersaing di pentas ‘Big Stage’ selama lapan minggu untuk musim yang pertama.

Mereka adalah Afieq Syazwan, 21 Tahun; Andi Bernadee, 27; Ariff Bahran, 20; Shafiq Farhain, 24; Tajul, 20; Baby Shima, 25; Fara Hezel, 22; Sarah Suhairi, 18; Sissy Imann, 22; Dan Wani Kayrie, 18.

Uniknya, format penjurian adalah terbahagi kepada dua bahagian yang mana nasib para bintang akan diadili berdasarkan pemarkahan oleh barisan juri profesional dan undian peminat secara online.

Dua ikon muzik tersohor tanah air, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin atau lebih dikenali dengan nama Datuk Siti dan Faizal Tahir telah dilantik sebagai Juri Tetap.

Pemilihan dua nama besar yang berjaya memahat kukuh nama mereka dalam industri seni ini sebagai juri tetap dibuat berdasarkan reputasi dan kecemerlangan sehingga meletakkan mereka di kalangan karyawan seni yang terbaik.

Dalam masa sama, Datuk Siti dan Faizal Tahir juga sering menjadi rujukan dan idola kepada sebilangan besar penggemar muzik bukan sahaja di negara ini malah meliputi seluruh nusantara.

Sementara itu, seorang juri jemputan profesional juga turut diundang khas secara bergilir-gillir pada setiap minggu untuk menyertai juri tetap bagi mengadili persembahan para bintang.

Penyanyi dan guru vokal profesional yang juga merupakan juara program Duo Star terbitan Astro Ria, Ernie Zakri turut diberi mandat sebagai Guru Vokal ‘Big Stage’ bagi memberikan bimbingan dan tunjuk ajar kepada para bintang.

Melihat kepada keserasian dan reaksi positif yang diterima menerusi program realiti ‘Rockanova’ terbitan Astro Prima sebelum ini, Astro sekali lagi menggandingkan dua selebriti popular; Alif Satar dan Sherry Al Hadad untuk mengemudi pentas utama ‘Big Stage’ selaku Pengacara.

Manakala pelakon baharu; Eyra Hazali dan finalis Hero Remaja 2017; Harris Annuar pula digandingkan sebagai Pengacara program ‘Live Plus Big Stage’ yang akan disiarkan secara serentak sewaktu berlangsungnya konsert mingguan di platform digital.

Untuk bahagian pertama, 100 peratus keputusan ditentukan oleh juri yang akan menilai para bintang berdasarkan kriteria yang telah ditetapkan sewaktu persembahan mingguan.

Tiga bintang yang mendapat markah terendah akan melalui proses penjurian untuk bahagian kedua yang ditentukan oleh undian peminat secara online menerusi aplikasi Tik Tok.

Bintang yang mendapat undian terendah akan disingkirkan.

Juara ‘Big Stage’ akan membawa pulang wang tunai bernilai RM100 ribu beserta trofi sumbangan Astro manakala pemenang tempat kedua dan ketiga pula akan memenangi RM50 ribu dan RM25 ribu beserta trofi.

Tempat keempat dan kelima juga tidak akan pulang dengan tangan ko-song yang mana masing-masing bakal membawa pulang RM10 ribu dan RM5 ribu beserta trofi.

Penerbitan ‘Big Stage’ turut disokong oleh jenama telefon pintar terkenal, Vivo yang hadir selaku Penaja Utama dengan kerjasama Tik Tok; aplikasi kongsian video popular selaku Platform Rasmi Undian Online.

Aplikasi Astro Go dan portal Gempak turut menghulurkan sokongan selaku Rakan Digital. Manakala ERA dan Raku pula sebagai Rakan Radio Rasmi dan Rakan Radio Digital selain Astro Circle selaku Rakan Bersama.

Rangkaian program ‘Big Stage’ akan mula bersiaran secara eksklusif menerusi saluran Astro Ria (104) dan Ria HD (123) serta turut boleh diakses menerusi perkhidmatan Gempak, Astro Go, Njoi Now dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.

Klip sedutan aktiviti perkembangan para bintang ketika membuat persiapan dan latihan menjelang konsert mingguan dapat ditonton melalui liputan harian ‘Studio’, setiap Isnin hing-ga Jumaat, jam 10.55 malam bermula 30 Julai.

Kompilasi liputan terse-but juga boleh ditonton menerusi ‘Kompilasi Studio’ pada setiap hari Ahad, jam 8.30 malam bermula 5 Ogos.

Manakala konsert mingguan ‘Big Stage’ pula akan bersiaran secara langsung dari Auditorium Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) selama 8 minggu pada setiap hari Ahad, jam 9.00 malam mulai 5 Ogos 2018.

Program ‘Drama Big Stage’ pula akan me-nyiarkan sorotan eksklusif serta rumusan drama di sebalik per-siapan konsert mingguan setiap hari Sabtu, jam 9.30 malam mulai 11 Ogos.

Program ‘Live Plus Big Stage’ juga akan disiarkan secara serentak di www.bigstage.com.my ketika berlangsungnya konsert mingguan ‘Big Stage’.

Advertisement