KUALA LUMPUR: Penerbit sukuk korporat Malaysia perlu menggunakan Bursa Singapura (SGX) untuk menarik pelabur antarabangsa berikutan kedudukannya sebagai hab penyenaraian sekuriti hutang terbesar di Asia.
Ketua Dagangan Pendapatan Tetap SGX, Rehan Ahmad berkata, Malaysia mempunyai kelebihan kerana menerbitkan pelbagai jenis sukuk, yang sesuai dengan selera risiko pelabur berbanding yang diterbitkan ahli Majlis Kerjasama Teluk (GCC), yang kebanyakannya terdiri daripada sukuk kerajaan.
Syarikat Malaysia telah menggunakan bursa itu untuk menarik lebih banyak pelabur antarabangsa, katanya pada taklimat media di sini kelmarin selepas membuat penyampaian mengenai pasaran penerbitan hutang Asia yang semakin meningkat.
Antara syarikat yang disenarai di bursa berkenaan ialah Khazanah Nasional Bhd, Axiata Group Bhd, Tenaga Nasional Bhd, Sime Darby Global Bhd dan RHB Bank.
Rehan berkata, pelabur Malaysia juga menunjukkan lebih banyak minat dalam sukuk yang diterbitkan di pasaran GCC, yang terdiri daripada Arab Saudi, Kuwait, Emiriyah Arab Bersatu, Qatar, Bahrain dan Oman.
Tahun lepas, terbitan sukuk Malaysia bagi pasaran dalam dan luar pesisir meningkat sebanyak 45.3 peratus, mencecah AS$97.9 bilion, manakala pasaran global dikuasai oleh entiti GCC, yang menerbitkan bon dan sukuk bernilai AS$174.17 bilion.
“Melihat kepada penerbitan sukuk di GCC, mereka lebih terikat dengan harga minyak dan kebanyakannya dikeluarkan oleh kerajaan,” katanya.
Beliau berkata, peserta baharu dalam bon Asia telah dilihat dalam tempoh lima tahun yang lalu, membuktikan bahawa pelabur antarabangsa mempunyai selera yang lebih tinggi bagi bon Asia berikutan kecairan dan keadaan pembiayaan yang menggalakkan.
“Kita juga dapat melihat peningkatan aliran rentas sempadan, di mana anggaran pecahan aliran untuk bon Asia berada pada 35 peratus untuk antara Asia, 35 peratus antara Asia dan Kesatuan Eropah dan United Kingdom serta 30 peratus antara Asia dan AS,” jelasnya.
Bagaimanapun, kesambungan rentas sempadan masih menjadi masalah dalam pasaran Asia, katanya.
“Kami menyedari kesambungan adalah satu isu, sebab itu SGX Bond-Trading (SGX-BT) adalah rakan niaga umum yang berada di tengah-tengah perdagangan,” tambahnya.
SGX-BT beroperasi sebagai rakan niaga umum pada platformnya yang digelar Bond Pro.
Setakat ini, terdapat lebih daripada 3,100 sekuriti hutang yang disenaraikan di SGX oleh 950 penerbit dari 47 negara, dengan lebih daripada AS$1 trilion jumlah tertunggak dalam 19 mata wang yang berbeza, menjadikannya hab penyenaraian sekuriti hutang terbesar di Asia. — Bernama