KUALA LUMPUR: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB), anak syarikat kepada Permodalan Nasional Bhd (PNB), dan pengurus dana bagi Amanah Saham Bumiputera (ASB), telah menasihatkan para pelabur untuk lebih berhati-hati dan tidak mendedahkan sebarang maklumat peribadi atau pelaburan kepada pihak yang tidak dikenali.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif ASNB, Mohammad Hussin berkata, pelabur tidak perlu melayan sebarang panggilan yang menanyakan butir-butir pelaburan, walaupun pemanggil mendakwa mereka adalah pegawai bank atau pegawai ASNB.
“Jika pelabur menerima panggilan yang mencurigakan, jangan panik. Jangan buat sebarang transaksi yang melibatkan pengeluaran ASB atau unit amanah ASNB lain,” katanya.
Baru-baru ini, seorang pelabur hampir ditipu oleh sindiket ‘Macau Scam’ bagi mengeluarkan RM120,000 dari akaun ASNB beliau.
ASNB menjelaskan bahawa pembayaran penggantian tidak akan dibuat jika pelabur terlibat dengan sindiket tersebut.
“Pelabur harus menghubungi ejen mereka dan Jabatan Pengurusan Perhubungan Pelanggan ASNB pada talian 03-20573000 atau pihak polis bagi membuat semakan atau mengemukakan laporan untuk maklumat lanjut serta penjelasan,” katanya. — Bernama