Anda di sini

Pesona 'wasai', air terjun dan gua tawar pengalaman hebat

Advertisement
KEINDAHAN Air  Terjun Dantob Siba.
KEINDAHAN Air Terjun Dantob Siba.

SEPERTI berada dalam set penggambaran filem! Pemandangan tumbuhan dan bukit bukau cukup indah. Suasana gua seperti dalam filem. Deruan aliran air sungai  di kawasan 'wasai' amat mendamaikan.

Begitulah gambaran suasana alam semulajadi yang boleh dinikmati di Eco Pelancongan Kepungitan Giau.

"Apa yang menjadi keistimewaan di Kepungitan Giau ialah kawasan ini memiliki air terjun dan 'wasai' yang agak banyak dalam lingkungan kawasan yang sama.

SUASANA di sekitar tapak perkhemahan.
SUASANA di sekitar tapak perkhemahan.

"Anda boleh melihat sendiri variasi keindahan alam semula jadi di sini. Setiap lokasi menawarkan pengalaman berbeza yang cukup menarik," kata Jikson Jalis selaku ketua ekspedisi di Kepungitan Giau.

'Wasai' merupakan dialek tempatan bagi kawasan jeram atau kawasan berbatu di sungai.

Eko Pelancongan Kepungitan Giau merupakan destinasi terbaharu bagi pelancong tempatan mahupun yang dari luar untuk mengalami sendiri keunikan flora dan fauna di tempat berkenaan.

Terletak di Kampung Sayap, Kota Belud, Eco Pelancongan Kepungitan Giau baharu saja dibuka kepada pengunjung terutamanya kepada kumpulan-kumpulan yang gemar meneroka alam semulajadi atau 'hikers' yang mahukan pengalaman mencabar tetapi cukup berbaloi.

"Kampung Sayap sememangnya terkenal dengan tempat-tempat menarik untuk dikunjungi seperti Aura Montoria, Gunung Nopungguk Lituk, Gunung Minodtuhan, Bukit Kowatuan, Bukit Kolumpisau, Bukit Pinonutungan dan banyak lagi," kata Jikson.

"Tetapi hari ini kami cukup bertuah kerana menjadi kumpulan pertama meneroka sekitar kawasan Kepungitan Giau," katanya.

Pada Sabtu lepas, Jikson yang juga ketua kumpulan Hill Hunter Explorer (HHE) mengepalai gabungan 24 orang 'hiker' dari beberapa kumpulan 'hiking' iaitu Estidi Cinta Bukit Hikers, Kilau Pdos Team, Sayap

Hikers, dan beberapa individu penggemar aktiviti lasak termasuk seorang pelancong dari United Kingdom untuk menjelajah lokasi-lokasi menarik di Kepungitan Giau.

Menurut seorang lagi ahli HHE, Abukindija Sadok, eko pelancongan di Kampung Sayap memberi peluang kepada belia kampung berkenaan untuk menambah pendapatan.

"Mereka biasanya menjadi pemandu arah atau 'guide' kepada pengunjung eko pelancongan, selain mengusahakan gerai-gerai makan di sini," katanya yang turut bertindak sebagai ketua pemandu arah ekspedisi berkenaan.

DI HADAPAN Gua Tembus.
DI HADAPAN Gua Tembus.

"Kami berkhemah selama dua hari sambil menikmati suasana malam di sana. Aktiviti pada hari pertama melibatkan beberapa lokasi menarik, " katanya.

Kumpulan pendaki itu memulakan perjalan seawal 10.30 pagi Sabtu menuju ke lokasi pertama iaitu Air Terjun Tinuman sejauh 1 kilometer dari lokasi permulaan.

Seterusnya mereka ke Wasai Lolotingan, sebelum meneruskan perjalanan ke Air Terjun Dantob Siba.

Abukindija berkata, jarak perjalanan dari titik mula hingga ke Dantob Siba Waterfall dan kembali semula ialah sejauh 7 km dan kumpulan itu tiba tepat jam 2.40 petang di lokasi permulaan.

"Perjalanan agak mencabar fizikal kerana muka bumi yang berbukit serta semak samun di sepanjang laluan. Kami kembali semula ke lokasi permulaan sebelum meneruskan perjalanan ke tapak perkhemahan.

"Kami membawa sendiri barang-barang keperluan. Selepas mengisi perut kami terus menuju ke tapak perkemahan yang jaraknya sejauh 2.5 km dan tiba sekitar jam 5 petang," katanya.

"Kami berehat awal selepas selesai mendirikan khemah masing-masing dan hanya melakukan aktiviti santai pada waktu malam bagi persediaan ekspedisi hari kedua.

Bagi pengunjung yang tidak berhasrat untuk bermalam masih berpeluang menikmati keindahan di Kepungitan Giau melalui pakej 'day trip'.

Hari kedua bermula dengan destinasi pertama iaitu melawat Gua Tembus.

Bagaimanapun perjalanan hanya dimulakan selepas dua orang pengunjung 'day trip' tiba di tapak perkhemahan dan meneruskan perjalanan bersama sama ke lokasi-lokasi menarik.

Selain Gua Tembus, turut menarik perhatian ialah Gua Kopungitan yang menjadi habitat semulajadi spesies kelawar dan berpeluang menyaksikan sendiri gelagat kelawar yang menghuni gua berkenaan.

Jikson berkata, pengunjung juga berpeluang menyaksikan keunikan formasi batuan yang berbentuk seolah-olah seorang wanita. Batu berkenaan diberi nama 'Mother Earth'.

Dua lokasi berikutnya ialah Air Terjun Kilabi dan Air Terjun Napanduk tidak mengecewakan pengunjung dengan suasana indah di sekeliling air terjun berkenaan.

"Inilah keistimewaan di sini. Wasai dan air terjun  berada di mana-mana. Banyak variasi keindahan alam untuk dinikmati di Kepungitan Giau," kata Jikson sambil menambah kumpulan itu tiba semula ke lokasi permulaan sekitar jam 5 petang sebelum pulang ke tempat asal masing-masing.

PESERTA bergambar bersama sama di lokasi permukaan sebelum memulakan perjalanan.
PESERTA bergambar bersama sama di lokasi permukaan sebelum memulakan perjalanan.

"Sebagai ketua ekspedisi kali ini, saya sangat berterima kasih kepada anggota ekspedisi atas kerjasama mereka.

"Tidak lupa juga kepada pihak Eko Pelancongan Kampung Sayap yang memberi peluang kepada kami untuk menikmati pengalaman yang cukup indah di Kepungitan Giau ini," katanya.

  • oleh
  • Advertisement