Anda di sini

Malaysia jadikan Bosnia rakan pulih persepsi negatif minyak sawit di Eropah

Advertisement
 Shamsul (dua kiri) menerima kunjungan hormat Duta Bosnia ke Malaysia, Emir Hadzikadunic (dua kanan) di pejabatnya, semalam. — Gambar Bernama
PERERAT HUBUNGAN: Shamsul (dua kiri) menerima kunjungan hormat Duta Bosnia ke Malaysia, Emir Hadzikadunic (dua kanan) di pejabatnya, semalam. — Gambar Bernama

PUTRAJAYA: Malaysia akan menjadikan Bosnia sebagai rakan strategik bagi memulihkan persepsi negatif berhubung minyak sawit di Eropah, kata Timbalan Menteri Industri Utama Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Beliau berkata hasrat itu disampaikan kepada Ketua Pegawai Eksekutif Bosna Bank International, Amer Bukvic dan delegasinya yang kini dalam rangka lawatan ke Malaysia untuk mempromosi Pameran Halal Sarajevo selama tiga hari mulai 27 Sept ini.

“Bosnia, sebuah negara di Eropah, boleh membantu memudahkan urusan dan strategik kementerian untuk mengatasi masalah dan persepsi negatif kempen yang dijalankan Eropah mendiskriminasi minyak sawit,” katanya pada sidang media sempena lawatan Amer di pejabatnya di sini semalam. Turut hadir Duta Besar Bosnia dan Herzegovina Emir Hadzikadunic.

Tahun lepas (2017), Parlimen Kesatuan Eropah meluluskan Resolusi ke atas Penebangan Hutan dan Minyak Sawit, di bawah Arahan Tenaga Boleh  Baharu bagi menyekat eksport minyak sawit ke Eropah untuk digunakan sebagai bahan bakar bio, menjelang tahun 2021.

Menurut Kesatuan Eropah, penanaman sawit menyumbang kepada penebangan hutan dan menyebabkan perubahan cuaca.

Ditanya jika Indonesia akan turut berkempen bersama Malaysia, Shamsul Iskandar berkata menerusi Majlis Negara-Negara Pengeluar Minyak Sawit (CPOPC), Malaysia bekerja rapat dengan Indonesia serta negara pengeluar minyak sawit lain untuk mengatasi cabaran secara lebih berkesan.

“Tidak bijak untuk melakukan perang perdagangan. Kita mesti bekerja rapat memandangkan minyak sawit dan getah sangat kompetitif dalam pasaran. Oleh itu, Malaysia akan bekerja lebih keras untuk melibatkan lebih banyak negara Eropah terhadap sekatan ini. Saya yakin akan mencapai keputusan yang positif,” katanya.

Jun lepas, Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad ketika dalam lawatan rasmi ke Indonesia, berkata Malaysia dan Indonesia, sebagai pengeluar utama komoditi industri minyak sawit, sepakat menangkis kempen negatif Eropah berhubung industri itu.

Dalam pertemuan itu, Shamsul Iskandar berkata hubungan dagangan antara Malaysia dan Bosnia turut dibincangkan serta menggalakkan lebih banyak syarikat Malaysia menubuhkan perniagaan di Bosnia dan Herzegovina, serta menawarkan ahli perniagaan Bosnia untuk merebut peluang dengan rakan-rakan Malaysia. — Bernama

Advertisement