Anda di sini

Kamarudin terima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat

Advertisement
 Mohd Azis (empat kiri) bergambar bersama Kamarudin (empat kanan) pada majlis Anugerah Kepimpinan Global di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama
DETIK MANIS: Mohd Azis (empat kiri) bergambar bersama Kamarudin (empat kanan) pada majlis Anugerah Kepimpinan Global di Kuala Lumpur, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Pengasas bersama AirAsia, Pengerusi Eksekutif AirAsia Group Bhd dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun diberikan pengiktirafan dengan menerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat di Anugerah Kepimpinan Global kelapan, di sini, pada Rabu.

Anugerah diberikan kepada Kamarudin untuk kerjayanya yang menakjubkan dan dedikasi beliau dalam meneraju pembangunan korporat dan komuniti dan usaha berterusannya untuk memacu AirAsia ke tahap yang lebih tinggi.

Anugerah disampaikan oleh Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Mohd Azis Jamman bersama CEO majalah Leaders International Shahul Hameed Dawood dan wakil Persatuan Pembangunan Kepimpinan Amerika (ALDA) Arthur Carmazzi.

Kamarudin berkata ketika AirAsia tidak mempunyai banyak pengalaman ketika memulakan penerbangan tetapi ia berani memasang impian.

“Dari dua pesawat, saiz armada kami berkembang kepada lebih 200 pesawat, dan telah membawa setengah bilion penumpang terbang ke lebih 130 destinasi di seluruh Asia Pasifik.

“Anugerah ini adalah bukti bahawa tidak ada mimpi yang terlalu besar dan tidak ada prestasi yang mustahil. Insya-Alah, berikan yang terbaik dan selebihnya serahkan hanya pada-Nya.”

Penerima Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat termasuk legenda tinju Muhammad Ali, pengasas dan presiden Universiti Lim Kok Wing Profesor Emeritus Lim Kok Wing, Pengarah Urusan KPJ Healthcare Bhd Datin Paduka Siti Sa’diah Sheikh Bakir dan Pengarah Urusan Kumpulan Mah Sing Tan Sri Leong Hoy Kum. — Bernama

Advertisement