Anda di sini

APMG 2018 platform hebat buat orang awam tunjuk bakat

Advertisement
 Sim (kanan) menunjukkan baju rasmi yang akan digunapakai semasa temasya sukan Asian Pacific Masters Games 2018 (APMG 2018) pada majlis Pelancaran APMG 2018 di Wisma UFL, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd Datuk Radha Krishnan (empat, kiri). — Gambar Bernama
BERMUTU TINGGI: Sim (kanan) menunjukkan baju rasmi yang akan digunapakai semasa temasya sukan Asian Pacific Masters Games 2018 (APMG 2018) pada majlis Pelancaran APMG 2018 di Wisma UFL, Kuala Lumpur semalam. Turut hadir Pengarah Urusan Universal Fitness & Leisure Sdn Bhd Datuk Radha Krishnan (empat, kiri). — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim percaya Asia Pacific Masters Game 2018 (APMG 2018) yang bakal  berlangsung di Pulau Pinang, September ini akan menjadi satu platform yang sangat baik bagi bekas atlet negara dan peminat sukan daripada semua lapisan umur untuk mempamerkan  bakat masing-masing.

Sim berkata acara pelbagai jenis sukan yang julung kali diadakan untuk mereka yang memenuhi syarat kelayakan umur minimum bukan sahaja memberikan peluang kedua kepada bekas atlet untuk menyinar kembali, bahkan menjadi platform yang sangat bagus bagi membina persahabatan.

“Ini bukan sahaja satu lonjakan untuk komuniti sukan, tetapi untuk masyarakat secara keseluruhan  selaras  dengan usaha kami menggalakkan gaya hidup sihat. Kejohanan ini akan menjadi satu platform untuk kesemua peserta dari seluruh dunia untuk datang dan bersama-sama menikmatinya.

Saya berharap penganjur akan mengambil peluang ini untuk meninggalkan tanggapan kekal ke atas peserta antarabangsa yang akan kembali untuk lebih banyak sukan dan keseronokan kerana di samping  perpaduan, sukan boleh memperkasakan ekonomi dengan menyumbang kepada pendapatan negara, juga  perniagaan tempatan,” katanya dalam sidang media selepas melancarkan pakaian rasmi APMG 2018 di sini semalam.

APMG 2018 akan menyediakan 22 acara sukan untuk dipertandingkan, antaranya ialah bola sepak, badminton, olahraga, renang, memanah, ping-pong, skuasy dan tenis.  

Buat masa ini, beberapa atlet Olimpik dari Jepun dan Korea Selatan antara lebih daripada 3,000 peserta dari 58 negara yang sudah mendaftar dan jumlah permohonan dijangka meningkat sehingga tarikh tutup pada 7 Ogos ini.

Orang ramai yang berminat untuk menyertai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada laman sesawang rasmi APMG 2018 di  www.apmg2018.com. — Bernama

Advertisement