Anda di sini

10 peserta pilihan Da’i kembali malam ini selepas terselamat minggu lepas

Advertisement
 Sepuluh peserta pilihan Da’i akan kembali beraksi di TV3 malam ini.
MALAM INI: Sepuluh peserta pilihan Da’i akan kembali beraksi di TV3 malam ini.

MINGGU pertama Da’i Pendakwah Nusantara musim baharu yang telah membuka tirai pada Jumaat minggu lepas menyaksikan tiada penyingkiran di mana 10 peserta pilihan beraksi buat pertama kali di pentas secara langsung dari Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral.

Tiada penyingkiran bukan tanda selamat, ianya memberi ruang untuk para peserta kembali bangkit dengan lebih baik, memperkukuhkan strategi dan memperbaiki gaya penyampaian mereka untuk menghadapi minggu seterusnya dengan tema yang berlainan yang pastinya lebih mencabar.

Bertemakan Gen-Y, pentas Da’i minggu pertama yang dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan Da’i Izzhar melihat persembahan Da’i Haziq mendapat pujian juri tetap kerana penyampaian santainya sampai ke hati juri dan para penonton.

Dengan tajuk ‘Hijrah Backpackers’, Da’i Haziq telah berjaya membuka ruang untuk para penonton berfikir tentang kebiasaan yang dilakukan kebanyakan orang iaitu pergi bercuti atau mengembara ke tempat baharu sepatutnya memberi kesedaran dan penambahbaikkan dalam hidup apabila kita mengeksplorasi keindahan bukan sahaja dengan mata tetapi hati.

Peserta lain yang turut tampil cemerlang untuk minggu pertama adalah Da’i Imran, Da’i Raishah, Da’i Adam dan juga Da’i Syahmi.

Kesemua peserta Da’i 6 perlu tampil merangkumkan isi dakwah mereka dalam masa tiga minit sahaja. Para penonton juga boleh memilih Da’i Pilihan mereka dengan (#) nama da’i yang menjadi kegemaran mereka di laman twitter.

Persembahan mereka akan diadili sepenuhnya oleh juri tetap iaitu Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail yang merangkumi 80 peratus markah manakala 20 peratus lagi daripada Murabbi mereka iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin di bawah seliaan Mursyid iaitu Datuk Ustaz Mohd Zawawi Yusoh.

Minggu pertama melihat Da’i Hafiz  mendapat undian tertinggi diikuti Da’i Haziq dan Da’i Raisyah.

Da’i Musim ke-6 yang bersiaran setiap Jumaat, jam 9 malam dan ditaja oleh penaja utama Almas Beauty & Health.

Ia turut boleh ditonton di seluruh dunia melalui laman youtube @TV3Malaysia dan juga di portal video tonton www.tonton.com.my.

Advertisement