Anda di sini

Pekerja unit keselamatan didakwa cuba rogol wanita

Advertisement
 

KOTA KINABALU: Seorang lelaki tempatan mengaku tidak bersalah, di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan cuba merogol seorang wanita, di sebuah institusi pengajian tinggi awam.

Hakim Ainul Shahrin Mohamad menetapkan pengurusan kes pada 29 Ogos terhadap Arshad Masdin, 26, yang didakwa mengikut Seksyen 376 (2) (a) Kanun Keseksaan, dibaca bersama Seksyen 511 kanun sama.

Hukuman yang diperuntukkan jika sabit salah, boleh dikenakan penjara selama tempoh 15 tahun dan sebat.

Mengikut pertuduhan, tertuduh menanggalkan baju mangsa secara paksa, pada 15 Julai jam 12.30 tengah malam, di dalam bilik asrama, institusi pengajian tinggi berkenaan, di sini.

Terdahulu Timbalan Pendakwaraya Umar Faiz membantah ikat jamin diberikan kepada tertuduh, dengan mengatakan kesalahan berkenaan tidak boleh ditawarkan jaminan.

Peguam Shahlan Jufri mewakili Arshad memohon ikat jamin diberikan, bagi membolehkan anak guamnya menyediakan pembelaan.

"Tertuduh tidak mempunyai rekod jenayah lampau. Pengadu dalam kes ini bukan lagi berada di Kota Kinabalu, tetapi kini di negeri Kelantan," katanya.

Tambahnya, tertuduh yang mempunyai dua anak yang bongsu berusia dua bulan, sudah bekerja di unit keselamatan institusi berkenaan hampir setahun.

Beliau memohon jumlah ikat jamin yang rendah diberikan, yang mana ahli keluarga tertuduh menjadi penjamin.

Ainul membenarkan ikat jamin diberikan sebanyak RM5,000 dicagarkan seorang penjamin tempatan.

  • oleh
  • Advertisement