Anda di sini

Kes pedofilia: Chile siasat 158 anggota Gereja Katolik

Advertisement

SANTIAGO: Chile kini sedang menyiasat 158 anggota Gereja Katolik di negara itu – baik paderi mahupun jemaat – kerana melakukan atau menyembunyikan pencabulan kanak-kanak dan orang dewasa, kata pendakwa raya kelmarin.

Kes-kes itu ada kaitan dengan insiden yang berlaku seawal 1960 dan membabitkan 266 mangsa, termasuk 178 kanak-kanak dan remaja, menurut pendakwa raya Luis Torres.

Kenyataan pendakwa raya itu memberikan pandangan umum pertama mengenai keseriusan dan skop skandal pencabulan yang dihadapi Gereja Katolik di Chile – dan berapa ramai orang yang dibabitkan.

Pada bulan lepas, Pope Francis menerima peletakan lima uskup Chile di tengah-tengah tuduhan pencabulan dan penyembunyian berkaitan.

“Majoriti besar insiden yang dilaporkan ada kaitan dengan jenayah seksual yang dilakukan oleh paderi atau orang yang ada kaitan dengan institusi pendidikan,” kata Torres kepada pemberita.

Seluruh lapisan Gereja Katolik – daripada uskup hingga  kepada biarawan – terpalit dengan jenayah itu, selain “jemaat yang menjalani fungsi dalam lingkungan eklesia”, katanya.

Sebanyak 36 siasatan sedang dijalankan manakala 23 siasatan sebelum ini menghasilkan pensabitan dan satu lagi berakhir dengan pembebasan.

“Tidak ada keraguan bahawa apa yang dibuat oleh pendakwa raya adalah sangat positif dan mula membuka pintu kepada situasi yang dahulu dilayan sebagai rahsia terbuka,” kata Juan Carlos Claret, seorang anggota sebuah kumpulan kempen yang menentang kehadiran uskup tercemar, Juan Barros, di kawasannya, kepada AFP.

Barros dituduh menutup kesalahan seorang paderi pedofilia dan Francis terpaksa memohon maaf pada awal tahun ini kerana memeluk dan membela uskup tersebut ketika beliau melawat Chile pada Januari lalu.

Francis telah melantik Barros untuk mengetuai keuskupan Osorno, di mana Claret tinggal, pada 2015 walaupun tuduhan dibuat oleh mangsa pencabulan seksual bahawa prelatus itu menyembunyikan tindakan  paderi pedofilia, Fernando Karadima, pada zaman 1980-an dan 1990-an.

Menurut Claret, Persidangan Uskup-Uskup Chile sudah tahu pada 2007 tentang 120 paderi yang terlibat dalam pencabulan seksual. Dia berkata itu bermakna lebih ramai orang yang terbabit berbanding jumlah yang didedahkan oleh pendakwa raya kelmarin.    

“Ada maklumat yang masih belum didedahkan,” tambah Claret, suara terkemuka yang mengecam pencabulan paderi ke atas kanak-kanak di negara itu yang mendorong Francis untuk merombak kepimpinan Gereja Katolik di Chile.

Karadima digantung se-umur hidup oleh Vatikan tetapi tidak pernah didakwa di Chile kerana statut pembatasan sudah berlalu pada waktu satu kes dibuka pada 2010.  

Pada awal tahun itu, dia didapati bersalah mencabul kanak-kanak oleh Vatikan, yang mengenakan hukuman dengan arahan kepadanya untuk berdoa sepanjang hidup dan membayar ganti rugi.

Pada Mei lalu, seluruh hirarki uskup di Chile mengemukakan surat peletakan jawatan berhubung skandal pencabulan yang menggegarkan Gereja di sana.

Sejak 200, kira-kira 80 paderi Katolik sudah dilaporkan kepada pihak berkuasa di Chile atas dakwaan melakukan pencabulan seksual.

Francis berulang kali memohon maaf kepada anggota paroki berhubung skandal itu, dan mengakui Gereja gagal “untuk mendengar dan bertindak” terhadap dakwaan yang dibuat sejak berdekad-dekad yang lalu, tetapi berikrar untuk “memulihkan keadilan”. — AFP

Advertisement