Anda di sini

Kerajaan perlu bersedia hadapi ledakan gelembung hartanah: IDEAS

Advertisement

KUALA LUMPUR: Kerajaan perlu bersedia menghadapi ledakan gelembung hartanah dan bertindak balas menanganinya menerusi penyelesaian berorientasikan pasaran, kata Felo Kanan Institut bagi Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi  (IDEAS) Dr Carmelo Ferlito.

IDEAS dalam  satu kenyataan di laman sesawangnya berkata, Ferlito dalam satu kertas kerja dasar baharu menasihatkan kerajaan mengurangkan peranannya dalam pasaran hartanah dengan mengecilkan bilangan agensi kerajaan dan menggalakkan sektor swasta terlibat dalam pasaran perumahan mampu milik.

Beliau berkata penglibatan meluas agensi kerajaan dalam pasaran perumahan mampu milik berisiko menjejaskan inisiatif swasta dan menghalang pelaksanaan penyusunan semula yang perlu dilakukan.

“Adalah penting untuk membiarkan gelembung meledak; terlalu banyak kredit hanya akan melewatkan ledakan, menjadikan harga sentiasa tinggi dan merisikokan kesolvenan kewangan pembeli.

“Tanpa sokongan kredit, krisis akan berlaku dengan pantas dan memaksa penyusunan semula modal dan harga bergerak menurun,” jelasnya.  

Ferlito mencadangkan kerajaan meningkatkkan tahap celik kewangan rakyat Malaysia dengan orientasi ke arah nilai penjimatan dan kemungkinan yang ditawarkan oleh pasaran sewaan.

Beliau juga berkata kerajaan mungkin mahu membuka dan melonggarkan peraturan dalam pasaran hartanah kepada orang asing yang memiliki visa bekerja biasa dan membayar cukai bagi membantu industri yang berada dalam kesukaran.  

Dalam kertas kerjanya yang bertajuk ‘Affordable Housing and Cyclical Fluctuations: The Malaysian Property Market’, Ferlito berkata evolusi luar biasa pasaran hartanah Malaysia dalam dekad lepas telah membawa kepada lambakan hartanah dalam segmen mewah dan permintaan kurang memberangsangkan bagi rumah mampu milik.

Beliau berkata tumpuan terhadap segmen mewah diwajarkan oleh permintaan yang tinggi dan justeru itu adalah suatu perkara yang biasa untuk mengembangkan pelaburan dalam sektor tersebut.

“Bagaimanapun, sekarang kelihatan jelas peluang keuntungan yang tidak dieksploitasikan telah hilang, penyusunan semula peruntukan modal nampaknya menjadi suatu yang perlu,” katanya. — Bernama

Advertisement