Anda di sini

Keluarga dakwa penembak Toronto ada masalah mental

Advertisement

TORONTO: Lelaki berusia 29 tahun yang menembak pengunjung restoran dan pejalan kaki di sebuah lebuh di Toronto pada malam Isnin lepas, sehingga membunuh dua orang dan mencederakan 13 lagi, mengalami masalah kesihatan mental yang “teruk”, kata keluarganya kelmarin.

Polis mengenali lelaki bersenjata itu sebagai Faisal Hussain dari Toronto. Dia dijumpai mati dekat lokasi serangan setelah berbalas tembakan dengan polis.

Ketua Polis Toronto, Mark Saunders, berkata seorang gadis berusia 18 tahun dan seorang budak perempuan berusia 10 tahun maut dalam serangan itu manakala 13 lagi – berusia 10 hingga 59 tahun- cedera, ada yang serius.

Pihak berkuasa belum lagi menentukan motif bagi serangan yang berlaku di kawasan kejiranan Greektown yang sibuk di Toronto sekitar jam 10 malam Isnin lepas.

Keluarga Hussain, dalam satu kenyataan kepada CBC News, mengecam “tindakan dahsyat” yang dia telah lakukan dan berkata dia mengalami masalah mental.

“Anak kami mengalami cabaran kesihatan mental dan teruk, bergelut psikosis dan kemurungan sepanjang hidupnya,” kenyataan keluarga itu menyebut.

“Campur tangan profesional tidak berjaya,” katanya.

“Ubat-ubatan dan terapi tidak dapat merawatnya.

“Sementara kami berusaha sedaya upaya untuk mendapatkan bantuan bagi dirinya sepanjang kehidupannya yang penuh panca-roba dan keperitan, kami tidak dapat membayang-kan bahawa ini akan menjadi penghujungnya yang         mengakibatkan kemusnahan dan menyedihkan,” kata keluarga itu.

Rakaman video yang dipaparkan oleh media Kanada menunjukkan Hussain, yang berpakaian serba hitam, berjalan di laluan jalan kaki dan tiba-tiba mengeluarkan pistol dan menembak ke dalam sebuah restoran.

Hanya beberapa jam sahaja selepas serangan itu berlaku di Toronto, polis menangkap seorang lelaki yang cuba menikam seorang anggota barisan kehormat adat-istiadat di luar parlimen di Ottawa.

Lelaki itu ditangkap dengan cepat dan tidak ada orang yang cedera dalam insiden itu, kata kementerian pertahanan Kanada.

Tiada penjelasan segera diterima bagi serangan pisau itu dan polis juga sedang menyiasat motif bagi serangan Hussain pada malam Isnin lepas di Toronto.

“Pada peringkat siasatan sekarang, kita belum lagi tahu kenapa ini berlaku,” kata ketua polis Saunders.

“Ia masih terlalu awal untuk menolak apa-apa,” katanya. “Segalanya terbuka buat masa sekarang.”

Saksi berkata serangan itu berlaku dalam masa beberapa minit sahaja dan mencetuskan panik di kawasan kejiranan bar dan restoran yang popular itu.

“Ia adalah satu insiden yang sangat cepat dan boleh berubah dan berlaku dengan sangat pantas,” kata Detektif Sarjan Terry Browne.

Andrew Mantzios memberitahu akhbar The Globe and Mail bahawa dia sedang minum kopi bersama rakan-rakan apabila bunyi tembakan bergema sekitar jam 10 malam.

Mantzios berkata dia ternampak seorang lelaki dengan “raut wajah yang dahsyat” sedang menembak sekumpulan orang yang menunggu untuk melintasi lebuh.

“Dan kemudian seorang wanita cuba lari dan dia terjatuh,” katanya. “Dia menoleh dan menembaknya dari jarak dekat, dua atau tiga kali.”

“Percayalah, saya tidak pernah melihat perkara seperti itu,” katanya. “Saya masih terkejut.”

“Seluruh bandar raya kita telah dikejutkan oleh keganasan yang dilakukan oleh pengecut ini,” kata Datuk Bandar Toronto, John Tory.

“Keganasan senjata api di mana-mana bahagian di bandar raya ini adalah dahsyat dan sama sekali tidak dapat diterima.”

“Saya berjanji kepada semua rakyat Toronto, tetapi paling penting sekali mereka yang terjejas secara langsung oleh tragedi ini, bahawa semua kita tidak akan henti-henti untuk mendapatkan jawapan tentang sebab bagi serangan yang sia-sia ini,” kata Tory.

Saksi melaporkan men-dengar sekurang-kurangnya 20 tembakan sewaktu serangan itu berlaku di Danforth Avenue, tarikan utama di Greektown.

“Sebanyak 20, 30 tembakan pada keseluruhan pasti telah berlaku. Ia banyak sekali. Kami hanya lari sahaja,” kata John Tulloch, seorang penduduk yang sedang bersiar-siar pada waktu kejadian, kepada The Globe and Mail.

Jody Steinhauer memberitahu CBC dia berada di sebuah restoran bersama keluarganya apabila dia terdengar bunyi yang seakan-akan 10 atau 15 letupan mercun.

Dia berkata dia disuruh lari ke belakang restoran.

“Kami mula mendengar orang menjerit di depan,” kata Steinhauer kepada badan penyiaran itu.

Ketua menteri baharu Ontario, Doug Ford, menganggapnya sebagai satu “keganasan senjata api yang dahsyat” dan berkata hatinya bersimpati dengan mangsa.

Serangan itu berlaku di tengah-tengah kebimbangan mengenai serangan yang semakin meningkat di metropolis terbesar di Kanada.

Kanada selama ini mengalami keganasan senjata api yang agak rendah, khususnya berbanding negara jiran Amerika Syarikat.

Datuk Bandar Tory menyifatkan serangan itu sebagai “bukti bagi masalah senjata api” di Toronto.

“Ia membawa kepada perbincangan lain, ‘Kenapa orang di bandar raya ini perlu memiliki senjata?’” katanya.

Menurut perangkaan polis, setakat 14 Julai, 220 serangan tembakan berlaku di Toronto pada tahun ini dengan 27 kematian. Sebanyak 196 serangan tembakan yang menyebabkan 17 kematian pada 2017.

Pada minggu lepas, polis Toronto mula melaksanakan “pelan pengurangan keganasan senjata api”. Ia termasuk meletakkan 200 anggota polis tambahan yang bekerja syif di kawasan kejiranan khusus di antara jam 7 malam hingga jam 3 pagi – waktu kebanyakan serangan tembakan berlaku.

Serangan di Greektown berlaku tiga bulan selepas bandar raya itu digegarkan oleh kematian 10 orang yang dibunuh oleh seorang lelaki yang dipercayai berdendam dengan kaum wanita dan melanggar pejalan kaki di sebuah lebuh di hujung Toronto. — AFP

Advertisement