Anda di sini

Kebakaran hutan jejas Athens

Advertisement
 Rangka kereta yang rosak dilihat selepas kebakaran hutan di kampung Mati, dekat Athens semalam. — Gambar Reuters
RENTUNG: Rangka kereta yang rosak dilihat selepas kebakaran hutan di kampung Mati, dekat Athens semalam. — Gambar Reuters

ATHENS: Sekurang-kurangnya 20 orang maut dan lebih 100 lagi cedera selepas kebakaran hutan memusnahkan hutan jarang dan kampung sekitar Athens, manakala pihak berkuasa Greece bergegas untuk memindahkan penduduk dan pelancong yang terkandas di pantai dalam kawasan tepi pantai awal semalam.

Majoriti mangsa dijumpai di dalam kereta atau rumah mereka di pusat peranginan tepi pantai, Mati, 40 kilometer ke timur laut ibu negara, kata jurucakap kerajaan Dimitris Tzanakopoulos.

Sebelas orang cedera serius, ujarnya, manakala 16 daripada mereka yang cedera adalah kanak-kanak.

Lewat kelmarin, seorang jurugambar AFP menjumpai sebuah motosikal dan kereta yang terbakar dengan empat mayat rentung di bawah kenderaan tersebut dekat bandar pelabuhan, Rafina, salah sebuah kawasan paling teruk terjejas kira-kira 40 kilometer ke timur Athens.

Pihak berkuasa cuba memindahkan penduduk, kata Tzanakopoulos, manakala operasi mencari mangsa lain diteruskan.

Sembilan bot peronda pantai, dua kapal tentera dan “puluhan bot persen-dirian” dibantu oleh helikopter tentera digerakkan untuk membantu mereka yang terkandas di pelabuhan Rafina.

Mangsa dipindahkan ke hotel dan kem tentera manakala saudara-mara yang bimbang berpusu-pusu ke kawasan berkenaan.

Polis di bandar itu sebelum itu berkata mereka menjumpai dua pelancong Denmark daripada sekumpulan 10 orang di dalam sebuah bot di laut perairan bandar dan cuba mengesan anggota lain.

Ketua perlindungan awam Yannis Kapakis berkata beliau sudah memberitahu Perdana Menteri Alexis Tsipras, yang memendekkan lawatan ke Bosnia untuk kembali ke tanah air, bahawa ribut selaju 100 kilometer sejam mewujudkan “situasi ekstrem”.

Di utara negara, lebih 300 anggota bomba, lima pesawat dan dua helikopter digerakkan untuk menangani situasi “amat sukar sekali”, kata ketua bomba Athens, Achille Tzouvaras.

Kerajaan Greece menggunakan perjanjian perlindungan awam Kesatuan Eropah (EU) untuk mendapatkan bantuan daripada rakan-rakannya dalam EU, pada waktu negara itu kering-kontang dan berisiko mengalami kebakaran lain.

Kebakaran menyebabkan kerosakan yang berleluasa di Sweden dan negara lain di utara Eropah.

Rakaman video menunjukkan penduduk lari dari kebakaran dengan menaiki kereta, dan beberapa bangu-nan dan rumah rosak, manakala wilayah Attica – di mana Athens terletak – mengisytiharkan keadaan darurat.

“Jika saya tidak pergi, saya pasti sudah terbakar,” kata seorang penduduk berusia 67 tahun yang memperkenalkan diri sebagai Maria kepada AFP.

Dekat bandar Marathon, beberapa penduduk pergi ke kawasan selamat di sepanjang pantai, manakala kira-kira 600 kanak-kanak dipindahkan dari kem percutian di kawasan tersebut.

Tsipras berkata “semua tenaga kecemasan sudah digerakkan” untuk memadamkan kebakaran di sekurang-kurangnya tiga medan.

Khidmat kecemasan mengharapkan keredaan ribut tetapi ramalan bagi wilayah berkenaan – yang mengalami suhu yang mencecah 40 darjah Celsius – membayangkan keadaan akan terus mencabar semalam.

Asap daripada kebakaran menutup matahari di atas kuil Parthenon yang masyhur di Athens, di mana beberapa kementerian ditutup petang kelmarin disebabkan oleh keadaan cuaca yang begitu panas.

“Saya amat bimbang mengenai kejadian selari kebakaran ini,” kata Tsipras, dan pegawai kerajaan membangkitkan kemungkinan ia telah dimulakan dengan sengaja oleh penjenayah yang mahu menggeledah rumah terbiar.

Kebakaran merupakan satu masalah yang biasa berlaku di Greece pada musim panas dan boleh menjadi pembunuh utama.

Kebakaran pada 2007 di pulau selatan Evia meragut 77 nyawa.

Juga kelmarin, agensi perlindungan awam Sweden, MSB, berkata 27 kebakaran aktif berlaku di seluruh negara, manakala suhu dijangka naik setinggi 35 darjah Celsius pada minggu ini.

Negara lain di Eropah termasuk Perancis, Itali dan Jerman sudah menghantar pesawat, trak dan anggota bomba untuk membantu menangani kebakaran selepas Sweden, di mana suhu musim panas biasa hampir 23 darjah Celsius, mengalami kesukaran untuk mengawal krisis itu.

Kira-kira 25,000 hektar tanah sudah musnah atau masih terbakar – sebuah kawasan dua kali ganda saiz bandar raya Paris.

Sekurang-kurangnya empat kebakaran belum lagi dapat dikawal, kata MSB, dan keadaan cuaca tidak baik.

Sweden mengalami kemarau luar biasa dan suhu panas yang sudah mencapai tahap tertinggi dalam tempoh seabad.

Hujan langsung tidak turun sejak awal Mei di negara Nordik itu, selain hujan 13 milimeter yang tidak seberapa pada pertengahan Jun.

Biro Perhutanan menyebut dalam satu kenyataan kel-marin bahawa nilai hutan yang musnah adalah 900 juta kronor (RM409 juta).

Negara lain di utara Eropah mengalami kesukaran untuk mengawal kebakaran hutan selepas suhu tidak menunjukkan sebarang tanda akan turun.

Di wilayah Lapland, utara Finland, kebakaran memusnahkan hutan kecil dan padang rumput dekat sempadan dengan Rusia.

Norway, yang pada tahun ini mengalami suhu paling panas dalam rekod pada bulan Mei, turut menyaksikan beberapa kebakaran kecil, dan seorang anggota bomba terkorban pada 15 Julai ketika dia cuba mengawal kebakaran.  

Kebakaran sudah berlaku selama lima hari di Latvia, dan memusnahkan lebih 800 hektar di wilayah barat negeri Baltik itu.

Pakar meteorologi memberi amaran bahawa suhu tinggi akan berterusan dan hujan tidak dijangka turun di Latvia dalam tempoh dua minggu akan datang. – AFP

Advertisement