Anda di sini

Pengebom nekad serang lapangan terbang Kabul

Advertisement
 Beberapa mangsa kelihatan terbaring di atas jalan raya selepas letupan bom di Kabul kelmarin. — Gambar Reuters
AKIBAT BOM NEKAD: Beberapa mangsa kelihatan terbaring di atas jalan raya selepas letupan bom di Kabul kelmarin. — Gambar Reuters

KABUL: Seorang pengebom nekad membunuh sekurang-kurangnya 14 orang dan mencederakan 60 lagi di pintu masuk ke lapangan terbang antarabangsa Kabul kelmarin, kata pihak berkuasa, ketika orang ramai berkumpul untuk menyambut kepulangan Naib Presiden Afghan Abdul Rashid Dostum dari buangan.

Beberapa pegawai kanan, pemimpin politik dan penyokong sedang meninggalkan lapangan terbang selepas menyambut pemimpin etnik Uzbek yang berkuasa dan bekas ketua perang ketika letupan itu berlaku.

“Ini merupakan kali pertama saya melihat serangan nekad,” seorang saksi memberitahu AFP.

“Orang ramai mengutip daging manusia dengan ta-ngan mereka,” katanya, dalam keadaan menggeletar ketika dia bercakap. “Apa yang telah berlaku di Afgha-nistan?”

Dostum, memakai sut Barat dan cermin mata serta menaiki sebuah kenderaan berperisai, tidak mengalami kecederaan, kata jurucakapnya Bashir Ahmad Tayanj.

Jurucakap Polis Kabul Hashmat Stanikzai mengesahkan 14 orang terkorban dan 60 lagi tercedera, sambil menambah bahawa sembilan anggota  pasukan keselamatan dan polis trafik adalah antara mereka yang terbunuh.

Kumpulan Daesh (IS) telah mengaku bertanggungjawab ke atas serangan melalui agensi berita rasminya Amaq pada lewat Sabtu lepas, menurut kumpulan pemerhati perisikan SITE.

Pengebom nekad itu berjalan kaki, menurut jurucakap kementerian dalam negeri

Najib Danish, sambil menambah bahawa orang awam, termasuk seorang kanak-kanak, dan anggota pasukan keselamatan adalah antara yang terkorban.

Dostum, yang dikaitkan dengan satu kes pencabulan hak asasi manusia di Afghanistan, telah diserbu seperti seorang selebriti ketika beliau meninggalkan pesawat yang disewa dari Turki, di mana beliau telah tinggal sejak Mei 2017.

Kepulangan beliau, yang menjadi subjek beberapa spekulasi, muncul ketika bantahan ganas di beberapa wilayah di sekitar utara Afghanistan, pangkalan kuasa asal beliau.

Ribuan penyokong Dostum telah berkumpul di jalan raya sejak beberapa minggu lepas, menutup pejabat pilihan raya dan kerajaan serta menyekat beberapa bahagian di lebuh raya untuk menuntut pembebasan seorang ketua militia prokerajaan dan meminta kepulangan Dostum.

Jangkaan kepulangannya hanya memberi sedikit kesan untuk meleraikan ketega-ngan, dengan penunjuk pera-saan kelmarin berjanji akan terus melakukan bantahan sehingga pemimpin berbadan besar dari etnik minoriti Uzbek itu memberitahu mereka sebaliknya.

“Kami tidak mempercayai kerajaan. Kami akan meneruskan bantahan kami kecuali Jeneral Dostum memberitahu kami supaya berhenti,” Ehsanullah Qowanch,seorang ketua protes di wilayah Faryab, memberitahu AFP.

Qowanch turut mengulangi permintaan untuk pembebasan Nezamuddin Qaisari – seorang ketua polis daerah dan wakil wilayah Dostum di Faryab – yang mana tangkapannya pada awal bulan ini telah mencetuskan bantahan.

Pemerhati berkata Presiden Ashraf Ghani, seorang penduduk etnik Pashtun, memberi kebenaran kepada Dostum untuk pulang bagi menstabilkan bahagian utara dan memastikan sokongan Uzbek sebelum pilihan  raya presiden pada tahun depan, yang mana beliau dijangka sepenuhnya akan bertanding.

Dostum meninggalkan Afghanistan pada Mei 2017 selepas beliau dituduh menganjurkan tindakan merogol dan menyeksa seorang musuh politik.

Beliau menafikan tuduhan tersebut dan menyatakan pemergiannya adalah untuk pemeriksaan kesihatan dan sebab keluarga.

Ghani pada 2009 menggelar Dostum sebagai seorang “pembunuh terkenal”, namun memilihnya sebagai rakan bertanding dalam pilihan raya presiden pada 2014, menggariskan realiti etnik yang kadangkala tidak menyenangkan dalam politik Afghan.

Tujuh pengawal peribadi Dostum telah disabitkan atas tuduhan serangan seksual dan pemenjaraan haram terhadap Ahmad Ishchi, seorang bekas gabenor wilayah utara Jowzjan, pada 2016.

Dostum dikatakan menculik Ishchi di Jowzjan dan kemudian menjadikannya sebagai tebusan di kawasan persendirian beliau selama beberapa hari, di mana tahanan itu mendakwa telah diseksa dan diliwat. — AFP

Advertisement