Anda di sini

Mayweather, George Clooney penghibur dengan bayaran tertinggi di dunia

Advertisement
(Dari kiri) Ronaldo, Mayweather dan Clooney
(Dari kiri) Ronaldo, Mayweather dan Clooney

PETINJU Amerika Floyd Mayweather baru-baru ini telah dinamakan sebagai penghibur dengan bayaran tertinggi di dunia dalam satu senarai yang turut melihat aktor George Clooney menduduki tempat kedua dengan bayaran tahunan tertinggi kerjayanya.

Bintang realiti Kylie Jenner, 20, menyusul di tempat ketiga dalam senarai tahunan Forbes Celebrity 100 itu, sebahagian besarnya hasil jualan rangkaian kosmetiknya yang turut meletakkannya di landasan menjadi jutawan usaha sendiri termuda di Amerika Syarikat.

Forbes mengumpul senarai untuk tahun 2018 itu dengan menganggarkan pendapatan sebelum cukai dari Jun 2017 hingga Jun 2018, sebelum tolak yuran pengurus, berdasarkan data dari Nielsen, penerbitan Pollstar, pangkalan data filem IMDB, dan temuramah dengan pakar industri dan selebriti itu sendiri.

Mayweather memperolehi kira-kira AS$285 juta dalam tempoh itu, sebahagian besarnya hasil pertandingan kemunculan semulanya pada Ogos 2017 menentang juara MMA (mixed martial arts) Conor McGregor.

Bintang yang memenangi anugerah Oscar Clooney memperolehi anggaran AS$239 juta setelah menjual syarikat tekuila Casamigos yang dia dirikan bersama kepada syarikat minuman keras British Diageo pada Jun 2017.

Forbes berkata jualan itu memberi Clooney pendapatan tahunan terbaik sepanjang 35 tahun kerjayanya dalam filem dan televisyen.

Forbes berkata, para penghibur dalam senarai 100 Selebriti 2018 itu  memperolehi sejumlah AS$6.3 bilion sebelum cukai, naik 22 peratus dari senarai tahun lepas.

Kebanyakan mereka yang memperolehi bayaran tertinggi datang daripada selebriti selepas mengumpil jenama mereka melalui usaha niaga dan melalui kehadiran media sosial mereka.

“Tidak pernah ada masa yang lebih menguntungkan jadi terkenal daripada sekarang, dengan 11 orang bintang terkemuka mendapat AS$100 juta atau lebih banyak sepanjang tahun lepas,” kata Zack O ‘Malley Greenburg, pengarang hiburan kanan di Forbes, dalam satu kenyataan.

Dwayne ‘The Rock’ Johnson hampir menggandakan pendapatannya dari tahun sebelumnya untuk menduduki tempat kelima dengan pendapatan yang dianggarkan sebanyak AS$124 juta.

Forbes berkata pendapatan ‘Jumanji’ dan ‘Fast & Furious’ bintang itu ialah pendapatan berkaitan lakonan terbesar yang ia telah catatkan dalam 20 tahun.

Di tempat teratas dalam senarai tahun lepas, pemuzik Sean Diddy Combs, jatuh ke No. 32 dalam senarai semasa.

Pendapatannya dalam senarai 2017 dilambung oleh sebuah jelajah dan jualan sebahagian rangkaian pakaian Sean John miliknya, kata Forbes.

Ahli muzik dan atlet juga turut menunjukkan keuntungan, dengan kumpulan Ireland U2, kumpulan British Coldplay dan penyanyi British Ed Sheeran muncul dalam senarai 10 teratas.

Pemain bola sepak Lionel Messi dan Cristiano Ronaldo juga memperolehi lebih daripada AS$100 juta, kata Forbes.

— Reuters

Advertisement