Anda di sini

Lebih 150 rumah setinggan musnah terbakar

Advertisement
KEBAKARAN yang dirakamkan dari kawasan udara menunjukkan hampir keseluruhan struktur rumah setinggan musnah dalam kebakaran.
KEBAKARAN yang dirakamkan dari kawasan udara menunjukkan hampir keseluruhan struktur rumah setinggan musnah dalam kebakaran.

KOTA KINABALU: Lebih 150 struktur rumah musnah dalam kebakaran di kawasan setinggan berdekatan Kampung Cenderamata 2 Likas petang tadi.

Ketua Operasi Hamsa Isnurdini berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian jam 2.17 petang dan menggerakkan 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas dan Kota Kinabalu.

"Semasa ketibaan anggota bomba di lokasi kejadian pada jam 2.23 petang, kita anggarkan bilangan rumah yang sedang terbakar ketika itu adalah sebanyak 10 buah dengan punca kebakaran bermula dari kawasan tengah setinggan.

ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api menggunakan sumber air dari jentera bomba.
ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api menggunakan sumber air dari jentera bomba.

"Operasi segera dilakukan menggunakan sumber air dari lima jentera bomba bagaimanapun anggota kita sukar untuk melaksanakan kerja pemadaman api berikutan kawasan serta laluan ke dalam lokasi kebakaran adalah sangat sempit.

"Api juga merebak dengan cepat berikutan keadaan struktur rumah yang dibina sangat rapat tambahan pula penduduk kampung turut sama memadam api di rumah masing-masing.

"Tindakan penghuni ini menyebabkan pergerakan anggota bomba terganggu kerana kita mempunyai prosedur pemadaman tersendiri apabila berhadapan situasi seperti ini," katanya.

Beliau berkata, kebakaran dapat dikawal kira-kira setengah jam kemudian bagaimanapun lebih 150 rumah penghuni musnah terbakar dan gagal diselamatkan.

SEBAHAGIAN lokasi kebakaran yang memusnahkan lebih 150 rumah di setinggan Kampung Cenderamata 2 Likas.
SEBAHAGIAN lokasi kebakaran yang memusnahkan lebih 150 rumah di setinggan Kampung Cenderamata 2 Likas.

"Syukurlah kebakaran dalam skala besar ini tidak membawa sebarang kecederaan dan punca kejadian masih dalam siasatan," katanya sambil menambah operasi keseluruhan terkawal jam 3.52 petang.

Tambahnya sepasukan anggota bomba sukarela dari Kampung Cenderamata 2 Likas turut menyalurkan bantuan dalam memadamkan kebakaran.

  • oleh
  • Advertisement