Anda di sini

Ahli parlimen Korea Selatan terbabit skandal rasuah membunuh diri

Advertisement
 Pegawai polis berdiri di sebelah khemah yang didirikan di mana Roh (sisipan) ditemui mati berhampiran pintu pagar bangunan apartmen di tengah Seoul semalam. — Gambar AFP/Yonhap
BUNUH DIRI: Pegawai polis berdiri di sebelah khemah yang didirikan di mana Roh (sisipan) ditemui mati berhampiran pintu pagar bangunan apartmen di tengah Seoul semalam. — Gambar AFP/Yonhap

SEOUL: Seorang ahli parlimen terkenal Korea Selatan yang sedang disiasat berhubung satu skandal rasuah telah membunuh diri, kata polis semalam.

Roh Hoe-chan, ahli parlimen selama tiga penggal untuk parti haluan kiri Parti Kehakiman telah diletakkan di bawah siasatan selepas dituduh menerima sejumlah 50 juta won daripada penulis blog politik yang berkuasa dikaitkan dengan ramai ahli politik utama.

Penulis blog tersebut, yang lebih dikenali dengan nama samaran dalam taliannya “Druking”, sedang dibicarakan kerana menggunakan program penggodaman haram untuk menukar pendapat umum di dalam Naver, portal dalam talian terkenal di Korea Selatan.

“Druking” dituduh secara palsu meningkatkan jumlah respons positif  – bersamaan dengan fungsi “Like” dalam Facebook – kepada berpuluh ribu komen dalam talian di dalam Naver yang menyerang atau menyokong ahli politik atau parti politik dalam tindakan untuk mendapatkan kepentingan peribadi.

Dalam satu nota bunuh diri yang ditinggalkan di sebuah apartmen di Seoul, Roh mengaku dia menerima wang daripada penulis blog tersebut, namun menafikan dia menawarkan sebarang balasan untuknya, lapor agensi berita Yonhap.

Dia telah dijangka akan dipanggil tidak lama lagi oleh pendakwa raya untuk soal siasat.

Polis menyatakan Roh ditemui meninggal dunia di pintu pagar bangunan apartmen yang sama dan ia kelihatan bahawa dia telah melompat jatuh hingga menemui ajal.

Roh merupakan seorang aktivis hak buruh terkenal sebelum menjadi ahli parlimen pada 2004.

Pihak presiden Korea Se-latan di Rumah Biru telah menyampaikan ucapan takziah di atas “kejadian yang sangat mengejutkan itu.”

“Saya menyampaikan takziah yang tidak terhingga di atas kematiannya dari lubuk hati saya,” Huh Ik-bum, seorang pendakwa raya kanan yang mengetuai siasatan dalam skandal tersebut, memberitahu wartawan.

“Saya secara peribadi mengagumi dia sebagai seorang ahli politik,” jelasnya.

Korea Selatan mempunyai salah satu kadar bunuh diri paling tinggi di dunia, dan pegawai awam yang membunuh diri – dari ahli politik hingga ahli perniagaan – terlibat dalam skandal memalukan sering menjadi tajuk utama.

Bekas presiden Roh Moo-hyun, yang berkhidmat dari 2003 hingga 2008, mengejutkan negara pada 2009 apabila dia terjun dari sebuah cerun ketika disiasat berhubung satu skandal rasuah. — AFP

Advertisement