Anda di sini

Peruntukan tambahan RM2 juta biayai PPRT di Sabah

Advertisement
RINA (kiri) dan Shafie (kanan) menjawab soalan semasa sesi sidang media.
RINA (kiri) dan Shafie (kanan) menjawab soalan semasa sesi sidang media.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Luar Bandar Malaysia (KPLBM) mengumumkan peruntukan tambahan RM2 juta bagi membiayai Projek Perumahan Rakyat Miskin Tegar (PPRT) di Sabah.

Menterinya Rina Harun berkata, peruntukan tambahan berkenaan adalah bagi membina dan membaikpulih projek PPRT sedia ada.

Menurut beliau, bagi maksud berkenaan, RM66 juta peruntukan telah diberikan kepada Kerajaan Sabah sehingga Jun 2018 dan daripada jumlah itu, RM48 juta telah dibelanjakan dan berbaki RM18 juta.

Beliau yang mengadakan lawatan rasmi dua hari ke Sabah, mendedahkan, kementeriannya menambah RM2 juta menjadikan jumlah keseluruhan peruntukan RM68 juta.

"Walaupun menghadapi kekangan kewangan tetapi keperluan rakyat lebih mendesak, jadi kita telahpun berbincang dengan Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah untuk berkerjasama berdasarkan isu-isu projek yang melibatkan kepentingan rakyat di negeri ini.

"Kalau dahulu, banyak projek dilaksanakan 'top down' tetapi sekarang kita memberi tumpuan kepada projek dari bawah yang memberi keutamaan kepada keperluan rakyat," katanya selepas mengadakan kunjungan hormat kepada Ketua Menteri, Datuk Seri Panglima Mohd Shafie Apdal di pejabatnya, hari ini.

Sementara itu, Shafie menjelaskan Kerajaan Negeri akan memberi sokongan penuh kepada usaha KPLBM demi memenuhi  keperluan rakyat.

"Projek yang menjadi keutamaan kepada Kerajaan Negeri pastinya kepada projek-projek yang dapat membantu rakyat.

"Saya yakin kementerian ini akan dapat membantu meningkatkan keperluan rakyat di negeri ini seperti jalan raya, tempat tinggal, kemudahan sumber air, tenaga elektrik dan sebagainya.

"Selain itu, KPLBM juga memainkan peranan penting dalam mendidik masyarakat luar bandar melalui Kemas, MARA dan MRSM menjadi adunan yang cukup baik untuk membantu masyarakat luar bandar," jelas beliau.-Penerangan.

Advertisement