Anda di sini

Mangsa kebakaran Kg Jawa perlu sumbangan keperluan harian

Advertisement
PENGHUNI menyelamatkan diri.
PENGHUNI menyelamatkan diri.

LABUAN: Mangsa kebakaran rumah sewa bertingkat di Kg Jawa, 0.5km dari sini memerlukan sumbangan dari pelbagai pihak untuk menampung keperluan harian.

Pemimpin Parti Warisan Sabah Labuan Noor Halim Datuk Haji Zaini berkata, 43 mangsa dari tujuh keluarga itu merupakan penduduk tempatan dan orang ramai boleh menghulurkan bantuan di pusat perlindungan atau melalui Biro Kebajikan parti itu.

“Setakat malam tadi pihak Warisan hanya dapat menyumbang air mineral, makan malam dan pakaian terpakai,” kata Halim, calon Warisan Labuan PRU14 yang berada di tempat kejadian sebaik kebakaran bermula.

HALIM (tengah) bersama petugas Warisan.
HALIM (tengah) bersama petugas Warisan.

Para mangsa berumur 1-65 tahun itu kini ditempatkan di pusat perlindungan sementara Jabatan Kebajikan Malaysia di Taman Perumahan Kian Yap.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Labuan, Pain Muzal ketika dihubungi memberitahu pihaknya menerima panggilan tentang kebakaran itu pada jam 6:19:33 petang kelmarin dan serta-merta menggerakkan pasukan penyelamat 17 anggota yang sampai di lokasi jam 6:24:04.

“Kebakaran berjaya dikawal jam 6:56:25 dan menamatkan operasi jam 11:05:33,” kata Pain.

Turut serta dalam operasi menyelamat ialah tujuh anggota Polis Diraja Malaysia, SESB (2), Jabatan Kebajikan (3) dan Pasukan Bomba Sukarela Kg Gersik (4).

MANGSA ditempatkan di rumah perlindungan kebajikan.
MANGSA ditempatkan di rumah perlindungan kebajikan.

Menurut Pain, setiba pasukan penyelamat di lokasi kejadian, rumah yang berkeluasan 30 x 50 kaki jenis kekal binaan kayu bertingkat itu sudah terbakar keseluruhannya.

“Turut terbakar ialah sebuah kereta Suzuki dan motosikal,” kata Pain sambil memberitahu tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

  • oleh
  • Advertisement