Anda di sini

Hak sarawak terus dinafi

Advertisement
 Sebahagian daripada peserta forum ‘THE ENDGAMES’ di Kuching, semalam.
TUMPUAN: Sebahagian daripada peserta forum ‘THE ENDGAMES’ di Kuching, semalam.

KUCHING: Pembayaran 20 peratus keuntungan minyak dan hasil petroleum negara bermakna Sarawak tidak mempunyai hak pemilikan ke atas minyak dan gas di negeri ini.

Aktivis Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) Zainnal Ajamain berkata royalti dan keuntungan dua perkara berbeza.

“Tun Dr Mahathir (Perdana Menteri) baru-baru ini mengatakan 20 peratus keuntungan hasil minyak dan hasil petroleum negara dibayar kepada Sarawak.

“Ia bercanggah daripada persetujuan asal iaitu pembayaran 20 peratus royalti kepada Sarawak. Royalti bermakna minyak dan gas milik Sarawak tetapi keuntungan tidak.

“Beliau (Dr Mahathir) tidak mahu mengatakan royalti jadi beliau menggunakan perkataan ‘keuntungan’ yang pada dasarnya bayaran tunai,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan forum bertajuk ‘THE ENDGAMES’ di Christian Ecumenical Worship Centre, Persatuan Gereja-Gereja Sarawak di sini, semalam.

Forum dihoskan bekas pelajar Sekolah St Thomas ‘67/69’ dihadiri kira-kira 200 orang yang mempunyai pelbagai latar belakang profesion dan usia.

 Zainnal ketika menyampaikan forum ‘THE ENDGAMES’ di Kuching, semalam.
BUKAN HAK PEMILIKAN: Zainnal ketika menyampaikan forum ‘THE ENDGAMES’ di Kuching, semalam.

Zainnal yang juga pengarah Institut Kajian Pembangunan (IDS) berkata, ia adalah antara penipuan yang dilakukan oleh kerajaan persekutuan selama ini.

“Mereka (kerajaan persekutuan) menipu (bluffing) rakyat Sarawak, mengatakan ia (minyak dan gas) bukan milik Sarawak dengan membayar 20 peratus keuntungan. Ini tidak betul,” tegasnya.

Beliau turut mengatakan amat kesal dengan Ahli Parlimen dari Sarawak dan Sabah kerana tidak bangkit meminta penjelasan lanjut daripada Dr Mahathir ketika membentangkan perkara itu di dalam Parlimen Jumaat lepas.

“Apabila isu-isu remeh dibangkitkan, ramai Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah akan bangkit mencelah atau berhujah tetapi apabila menyentuh hal serius (royalti minyak) semua berdiam diri.

“Sebab itulah saya sangat kecewa. Tidak ada satu pun Ahli Parlimen Sarawak dan Sabah bangkit meminta penjelasan. Dengan jujur saya katakan, Ahli Parlimen tahu akan hak-hak Sarawak,” ujarnya.

Tambahnya lagi, kerajaan persekutuan telah memanipulasi hak-hak Sarawak menerusi parlimen sejak lama dulu, antaranya mengubah keluasan asal pelantar benua daripada 350 batu nautika yang ditetapkan oleh Konvensyen Undang-Undang Laut Pertubuhan Bangsa Bersatu 1954.

Malah ujarnya, Lampiran C, Perjanjian Malaysia, Perlembagaan Sarawak menyentuh hak pemilikan tanah, iaitu semua tanah negeri diberi hak pemilikan kepada negeri iaitu Sarawak.

“Maknanya, pelantar benua di Sarawak adalah milik Sarawak, bukan Malaya, bukan Malaysia. Siapa yang telah memberi hak kepada Petronas dengan begitu mudah mengambil minyak dan gas di kawasan Sarawak. Itu tidak betul.

“Jadi ia (pelantar benua) itu adalah milik Sarawak, bagaimana boleh Petronas masuk dan mengatakan ia mempunyai hak pemilikan ke atas tanah negeri ini, langsung tidak masuk akal bukan?,” soalnya.

Tambahnya: “Ini jelas menunjukkan Petronas tidak menghormati perlembagaan Sarawak yang diberikan oleh ‘Queen’ bukan Parlimen Malaysia.”

Maknanya, kata beliau sempadan perairan Sarawak tidak boleh diubah sewenang-wenangnya.

  • oleh
  • Advertisement