Anda di sini

Tempoh reman anggota polis disyaki rasuah, dilanjutkan

Advertisement
 Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi lima anggota polis bagi menyambung tahanan direman di Kompleks Mahkamah Seremban, semalam. — Gambar Bernama
TAHANAN REMAN: Pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengiringi lima anggota polis bagi menyambung tahanan direman di Kompleks Mahkamah Seremban, semalam. — Gambar Bernama

SEREMBAN: Tempoh reman tiga daripada lima anggota polis bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung satu kes rasuah melibatkan aktiviti penjualan dadah, dilanjutkan.

Mereka yang masing-masing berpangkat Koperal berusia 29-51 tahun itu, direman Ahad lepas setelah  disyaki berpakat meminta rasuah berjumlah RM5,000 daripada seorang lelaki.

Suspek berusia 29 tahun direman selama tujuh hari dan diwakili peguam Che Muji Che Noh manakala dua lagi suspek berusia 50 dan 51 tahun masing-masing disambung reman selama sehari dan diwakili peguam Azizi Abdul Aziz.

Perintah reman terhadap kesemua suspek dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Khas Reman Seremban Emysuriana Muhammad Subry selepas membenarkan permohonan Pegawai Pendakwa SPRM Mohd Khairi Abdul Karim bagi menjalankan siasatan mengikut Seksyen 17(a) Akta SPRM 2009.

Manakala dua lagi suspek berusia 29 tahun dan 37 tahun masing-masing berpangkat Koperal dan Lans Koperal, dibebaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM 5,000 setiap seorang.

Kesemua mereka ditahan SPRM Sabtu lepas antara jam 2 petang hingga 11.40 malam dengan empat daripada mereka ditahan di Pejabat SPRM Negeri Sembilan selepas selesai memberi kenyataan manakala seorang lagi ditangkap di jalan besar berhadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Jempol.

Kesemua mereka didakwa kerana meminta dan menerima RM5,000 daripada seorang lelaki yang didakwa terlibat dalam aktiviti penjualan dadah bagi tujuan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya. — Bernama

Advertisement