Anda di sini

Ngap Sayot tidak mempunyai pilihan

Advertisement
 Sarawak menduduki tangga ke-10 hanya dipisahkan dua mata dengan Terengganu FC II yang mengutip 17 mata dan menduduki tangga ke-11.
PERLU MENANG: Sarawak menduduki tangga ke-10 hanya dipisahkan dua mata dengan Terengganu FC II yang mengutip 17 mata dan menduduki tangga ke-11.

KUCHING: Sarawak tidak mempunyai pilihan kecuali perlu menewaskan Terengganu FC II pada aksi Liga Premier 2018 di Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini untuk mengekalkan mereka dalam saingan liga itu pada musim depan.

Presiden Persatuan Bola Sepak Sarawak (FAS), Datuk Posa Majais sambil menegaskan kepada semua pemain memastikan tiga mata menjadi milik pasukan Sarawak bagi mengelak disingkirkan ke Piala FAM.

“Kita tiada pilihan kecuali menang ke atas Terengganu FC II malam esok (malam ini) untuk memastikan Sarawak kekal bersaing dalam Liga Premier musim depan.

“Justeru, semua pemain harus sedar situasi dihadapi dan perlu melakukan apa yang sewajarnya memandangkan situasi skuad kita ketika ini amat genting,” katanya di sini semalam.

Sarawak menduduki tangga ke-10 hanya dipisahkan dua mata dengan Terengganu FC II yang mengutip 17 mata dan menduduki tangga ke-11.

Jika menang, anak-anak buah Ian Andrew Gillan boleh menarik nafas lega namun jika sebaliknya nasib Sarawak akan ditentukan pada perlawanan terakhir menentang Felcra FC pada 26 Julai ini.

Peraturan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menetapkan hanya satu pasukan tercorot disingkirkan ke saingan Piala FAM musim depan.

Bagaimanapun, Posa tidak menolak kemungkinan akan menggunakan aksi malam ini sebagai penilaian terakhir prestasi semua pemain.

“Kita mungkin menggunakan perlawanan malam ini menilai prestasi semua pemain, sama ada mereka akan terus dikekalkan musim depan atau sebaliknya,” tambah beliau.

Dalam perkembangan sama, Posa menyeru penyokong-penyokong setia pasukan Sarawak hadir memenuhi Stadium Negeri, Petra Jaya malam ini bagi memberi sokongan padu kepada pasukan.

Perlawanan Liga Premier 2018 membabitkan pasukan Sarawak beraksi di halaman sendiri dilangsungkan semula sebelah malam selepas lampu limpah di Stadium Negeri, Petra Jaya selesai dibaik pulih.

  • oleh
  • Advertisement