Anda di sini

Malaysia akan lebih mesra perniagaan, kekang rasuah

Advertisement
 Dr Mahathir bergambar bersama Anggota Majlis Tertinggi ACCCIM pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-72, semalam. — Gambar Bernama
TANDA KENANGAN: Dr Mahathir bergambar bersama Anggota Majlis Tertinggi ACCCIM pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) Ke-72, semalam. — Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad semalam memberi jaminan bahawa Malaysia akan terus kekal sebagai sebuah negara yang mesra perniagaan dan tidak akan mengamalkan rasuah demi menarik lebih banyak aliran masuk pelaburan langsung asing dan domestik.

Malah, Perdana Menteri menegaskan, kerajaan baharu pimpinan beliau akan turut mempertingkatkan amalan antirasuah bagi memastikan persekitaran perniagaan yang bersih serta adil.

Pada masa sama, kerajaan juga dalam usaha menghidupkan semula Dasar Persyarikatan Malaysia atau Malaysia Incorporated untuk memperkukuhkan jalinan kerjasama antara kerajaan dan sektor swasta.

“Ini adalah kerajaan baharu dan akan bersifat mesra perniagaan. Kerajaan ini tidak akan mengamalkan rasuah. Saya tahu ada segelintir ahli perniagaan yang bimbang jika mereka berurusan dengan seorang perasuah atau korup, mereka berkemungkinan turut menjadi mangsa tindak balas individu itu atau rakan sekerjanya.

“Kita akan melindungi anda daripada sebarang bentuk tindak balas (sedemikian). Kita mahukan kerajaan yang bersih dan saya yakin anda semua pun mempunyai keinginan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesyuarat agung tahunan Gabungan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Malaysia (ACCCIM) ke-72, di sini semalam.

Konsep Persyarikatan Malaysia yang diperkenalkan Malaysia pada 1981 antara lain berteraskan kepercayaan bahawa pertumbuhan ekonomi dan pembangunan menyeluruh negara ini dapat dilonjakkan menerusi kerjasama kukuh antara sektor awam dan swasta.

Selain itu, Dr Mahathir turut menegaskan bahawa Malaysia sama sekali tidak akan menolak pelaburan langsung asing kerana turut membabitkan rekaan dan produk baharu yang tidak diketahui oleh negara ini.

“Hari ini, kita melihat banyak kilang di Malaysia yang dapat ditubuhkan, dimiliki serta dikendalikan oleh rakyat negara ini tanpa sebarang pelaburan asing. Namun, kita masih perlukan pelaburan asing kerana wujudnya teknologi baharu yang dibangunkan dan perlu dikuasai jika kita mahu bersaing dengan negara-negara lain,” katanya.

Perdana Menteri berkata, Malaysia juga kini dalam proses pemulihan dan memerlukan masa bagi mengubah sepenuhnya kesilapan yang telah dilakukan sebelum ini.

“Yakinlah bahawa kita berazam untuk berbuat demikian dan kita memerlukan maklum balas daripada komuniti perniagaan supaya apa yang kita buat adalah baik untuk negara dan pastinya juga untuk komuniti perniagaan.

“Kita mengakui kenyataan bahawa komuniti perniagaan akan menjadi penyumbang yang amat bermakna ke arah memakmurkan negara ini,” katanya.

Beliau berkata kerajaan baharu telah mencatatkan kemajuan besar dalam pentadbiran dan telah memperkenalkan undang-undang baharu untuk menggantikan undang-undang bersifat kejam yang tidak selari dengan kebanyakan pembangunan negara.

“Apabila saya menjadi perdana menteri pada 1981, tidak banyak kerja yang perlu dilakukan. Apa yang perlu saya buat adalah melantik mereka yang berpengalaman bagi menguruskan kerajaan.

“Namun, hari ini sebaliknya kita perlu membina semula kerajaan kerana sudah terlalu  banyak perkara yang telah dirosakkan. Ia amat sukar dan memerlukan masa untuk kita menguruskan kerajaan pada peringkat awal.

“Oleh itu, kita memerlukan sokongan anda semua dan yakinlah dengan kerajaan sekarang. Berilah kami masa untuk membetulkan kesilapan masa lalu,” katanya.

Dr Mahathir turut yakin negara ini akan kembali kepada sistem demokratik dan berasaskan undang-undang.

“Ini amat penting kerana mana-mana negara yang tidak stabil dan tidak mengikut undang-undang, sama sekali tidak berupaya mengecapi kemakmuran,” katanya. — Bernama

Advertisement