Anda di sini

KGBS bantah cadangan modul PKJR dimasuk dalam subjek Bahasa Melayu

Advertisement

SIBU: Kesatuan Guru-Guru Bumiputera Sarawak (KGBS) menentang sekeras-kerasnya cadangan memasukkan modul Pendidikan Keselamatan Jalan Raya (PKJR) ke dalam subjek Bahasa Melayu yang diperkenalkan semua sekolah rendah menjelang 2019.

Timbalan Ketua Menteri Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing semasa ucapan penggulungannya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) baru-baru ini menyebut, modul terdiri grafik, kod lebuh raya dan garis panduan keselamatan akan diajar dua kali seminggu oleh guru keselamatan jalan raya terlatih di 1,264 sekolah rendah seluruh Sarawak.

Bagi membalas kenyataan itu, Presiden KGBS Ahmad Malie berkata mereka menentangnya kerana bimbang menambah beban guru-guru dalam melaksanakan PdP (pengajaran dan pembelajaran) modul ini.

“Masalah-masalah dihadapi guru-guru sebelum ini belum ditangani dan tiba-tiba menambah beban sedia ada dengan modul tambahan untuk diajar kepada murid,” katanya dihubungi di sini kelmarin.

Ahmad menambah, jika YB (wakil rakyat) masih bertegas mahu modul itu diajarkan di sekolah rendah, KGBS mencadangkan memadai diajar dalam kurikulum mana-mana subjek jika topik berkaitan dengan topik subjek yang diajar oleh guru keselamatan jalan raya.

Beliau berkata, KGBS berpendapat perkara itu bukan masalah utama dan keperluan mendesak bagi murid sekolah terutama sekolah rendah.

“Lebih sesuai modul itu diajar dan ditekankan kepada pusat latihan memandu kerana mereka yang bertanggungjawab terhadap perkara keselamatan jalan raya,” katanya.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan supaya tidak mencadangkan modul ter-tentu diajar di sekolah tanpa perbincangan holistik dan komprehensif dengan peng-amal pendidikan terlebih dahulu.

“KGBS menegaskan demikian kerana setiap cadangan memberi impak langsung kepada proses mengajar,” katanya.

Advertisement