Anda di sini

Jerebu setempat landa Sibu

Advertisement
 Keadaan di Jalan Bukit Penyau yang diselubungi jerebu pagi semalam.
JEREBU: Keadaan di Jalan Bukit Penyau yang diselubungi jerebu pagi semalam.

SIBU: Bandar Sibu mula diselubungi jerebu semalam berikutan keadaan cuaca panas dan kering yang melanda seluruh Sarawak ketika ini.

Menurut Kontroller Lembaga Sumber Asli dan Alam Sekitar (NREB) Peter Sawal, jerebu yang berlaku itu adalah bersifat setempat.

“Ini mungkin disebabkan segelintir pemilik tanah membersihkan lot tanah mereka bagi membina rumah. Indeks Pencemaran Udara (IPU) di seluruh negara bagaimanapun masih di bawah 100,” ujarnya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata demikian ketika ditanya sama ada jerebu yang berlaku di sini disebabkan jerebu rentas sempadan.

Tinjauan di Jalan Bukit Penyau, Salim pagi semalam mendapati keadaan agak berjerebu. Keadaan penglihatan juga agak terhad di sepanjang Sungai Rejang.

Sementara itu, Penolong Kontroller Lembaga Sungai-Sungai Sarawak (LSS) Wilayah II Sibu, Hatta Morshidi berkata, tiada perjalanan bot ekspres yang terpaksa dijadual semula akibat keadaan berjerebu.

“Namun, kita menasihati juragan bot agar lebih berhati-hati ketika menyusuri sungai.

“Sekiranya jarak penglihatan agak terhad, pasangkan lampu kecemasan atau lampu kabus serta bunyikan hon ketika menghampiri selekoh sungai,” ujarnya.

Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia Kuching, Wong Teck Kiong berkata, cuaca panas dan kering yang melanda dijangka berlarutan seminggu lagi atau sehingga awal bulan depan.

Dalam perkembangan berkaitan, Majlis Daerah Luar Bandar Sibu (MDLBS) akan bertindak terhadap mana-mana pihak yang didapati melakukan pembakaran terbuka.

Pengerusinya, Sempurai Petrus Ngelai menasihati orang ramai agar tidak melakukan pembakaran terbuka ketika cuaca panas dan kering ini.

“Kita mendapati masih ada segelintir penduduk di Sibu Jaya yang melakukan pembakaran terbuka di belakang rumah mereka.

“Jika mereka terus melakukan pembakaran terbuka, ini akan menyumbang kepada pencemaran udara terutama ketika musim kemarau ini,” ujarnya.

Sempurai turut menyeru orang awam melaporkan kepada MDLBS atau NREB sekiranya ada pihak yang melakukan pembakaran terbuka.

“Bagi pihak majlis, kita boleh mengambil tindakan mengikut undang-undang dan peraturan yang ada,” tegasnya.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Sarawak, Nor Hisham Mohammad berkata, berlaku peningkatan mendadak kes kebakaran belukar di Sarawak sejak beberapa hari lepas.

Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak membakar sisa-sisa kebun mereka ketika cuaca kering dan panas ketika ini.

  • oleh
  • Advertisement