Anda di sini

‘Game of Thrones’ kembali meriahkan anugerah Emmy selepas setahun

Advertisement
 Sophie Turner, Gwendoline Christie, Maisie Williams, Nikolaj Coster-Waldau, Carice van Houten, penulis/pengarah David Benioff, Peter Dinklage, Conleth Hill, penulis/pengarah D.B. Weiss, aktres Lena Headey, pengarah David Nutter, pelakon John Bradley dan Alfi
PENCALONAN TERBANYAK: Gambar fail bertarikh 20 September 2015 ini menunjukkan pemenang Siri Drama Terbaik untuk ‘Game of Thrones’ di bilik media semasa Anugerah Emmy ke-67 yang diadakan di Microsoft Theater di Los Angeles, California. Dari kiri adalah: Sophie Turner, Gwendoline Christie, Maisie Williams, Nikolaj Coster-Waldau, Carice van Houten, penulis/pengarah David Benioff, Peter Dinklage, Conleth Hill, penulis/pengarah D.B. Weiss, aktres Lena Headey, pengarah David Nutter, pelakon John Bradley dan Alfi

SIRI fantasi epik yang memecah rekod ‘Game of Thrones’ melakukan kepulangan yang kuat ke litar anugerah di Hollywood selepas setahun berehat apabila ia mendominasi pencalonan Emmy pada tahun ini dengan 22 pencalonan yang menakjubkan.

Siri HBO yang begitu popular itu, yang akan kembali untuk musim kelapan dan terakhir yang dipendekkan pada tahun depan, akan bertanding sekali lagi untuk hadiah siri drama terbaik yang diidam-idamkan, beberapa trofi lakonan dan beberapa anugerah teknikal.

Siri mengenai keluarga-keluarga bangsawan yang merebut Takhta Besi itu menghadapi cabaran yang kuat dari siri sketsa komedi kegemaran ‘Saturday Night Live’ dan sebuah lagi siri HBO ‘Westworld’ masing-masing dengan 21 pencalonan.

Ahli Akademi Televisyen seramai lebih 22,000 orang menghabiskan masa selama dua minggu pada Jun untuk meneliti lebih 9,000 penyertaan bagi memilih calon untuk anugerah Emmy, versi skrin kecil untuk anugerah Oscar.

“Pertumbuhan industri ini yang berterusan telah memberi peluang kepada program baharu yang dipuji untuk muncul, dan pada waktu yang sama membolehkan program yang mencapai kejayaan pada musim lepas untuk berkembang,” kata pengerusi akademi Hayma Washington.

Anugerah Emmy mengiktiraf program yang ditunjukkan pada tahun sehingga 31 Mei, yang bermakna beberapa filem popular biasa - daripada ‘Better Call Saul’ hingga kepada ‘House of Cards’ dan ‘Veep’ - tidak ada pada kali ini.

Dengan aktivis hak wanita yang marah mengenai pencalonan seorang hakim yang amat konservatif oleh Presiden Donald Trump untuk berkhidmat dalam Mahkamah Agung, sebuah program mengenai negara fiksyen Amerika yang mengerikan dan ditadbir oleh rejim totalitarian yang bertekad untuk menindas wanita dijangka akan mencuri sedikit tumpuan dari ‘Thrones’.

‘The Handmaid’s Tale’ terbitan Hulu memperolehi 20 pencalonan - tujuh lebih banyak berbanding pada tahun lepas - dan merupakan program kegemaran awal untuk memenangi semula drama terbaik pada September nanti.

Satu lagi cerita besar ialah Netflix menamatkan siri kemenangan selama 17 tahun oleh HBO. Strimer itu mendahului pencalonan dengan 112, manakala HBO mencatatkan 108. Ketinggalan di tempat ketiga adalah NBC dengan 78 pencalonan.

Namun ia adalah ‘Thrones’ yang menetapkan rentak di anugerah Emmy pada musim ketujuh, yang ditayangkan pada musim panas lalu, sekali gus mendapatkan pengiktirafan bagi anggota barisan pelakon, Lena Headey, Nikolaj Coster-Waldau, Peter Dinklage dan Diana Rigg.

Ia juga dalam pertandingan untuk anugerah-anugerah pengarahan, penulisan dan beberapa anugerah teknikal, selain drama terbaik, di mana pencabar lain termasuk ‘The Americans’ terbitan FX, yang tamat baru-baru ini dan memperolehi empat pencalonan pada keseluruhannya.

Kategori itu dilengkapi ‘Westworld’, ‘The Crown’ terbitan Netflix, yang menerima 13 pencalonan, dan siri sains fiksyen khidmat striming itu ‘Stranger Things’ (12), selain drama keluarga NBC ‘This is Us’.

Siri FX arahan Ryan Murphy ‘The Assassination of Gianni Versace’, satu daripada beberapa calon yang serius pada tahun ini dan dapat mendakwa diri sebagai baharu sepenuhnya, memperolehi 18 pencalonan yang mengagumkan, termasuk untuk pelakon-pelakon, Darren Criss, Penelope Cruz, Edgar Ramirez dan Ricky Martin.

Mahkota komedi yang biasanya disimpan dalam almari trofi ‘Veep’ dimenangi tahun ini oleh ‘Atlanta’, komedi FX yang dicipta dan dibintangi Donald Glover, yang mendapat 16 pencalonan.

Pencalonan Samantha Bee dalam kategori siri bual bicara serba-serbi untuk sirinya terbitan TBS ‘Full Frontal’ kemungkinan akan ditafsirkan sebagai tanda sokongan dari Hollywood selepas dia dikecam kerana menggunakan perkataan kesat yang dilarang untuk menggambarkan Ivanka Trump.

“TBS dengan berani meletakkan seorang wanita berusia lebih 45 tahun di TV tetapi sebaliknya saya pernah ditengking oleh presiden,” dia menyebut dalam satu kenyataan.

“Kita ada beberapa orang yang amat istimewa dalam kakitangan kita dan mendengar mereka menjadi gila di pejabat sekarang hanyalah ubat yang diperlukan oleh dunia ini.”

Samira Wiley, yang dicalonkan untuk aktres tetamu dalam ‘The Handmaid’s Tale’, dan Ryan Eggold (‘New Amsterdam’) mengumumkan pencalonan dari Akademi Televisyen di Los Angeles.

Kategori dipenuhi paling ramai bintang, seperti kebiasaan, adalah pelakon lelaki terbaik dalam siri terhad atau filem TV, di mana Antonio Banderas, Benedict Cumberbatch, John Legend dan Jeff Daniels semua menerima pencalonan.

Al Pacino, Kyle MacLachlan dan Michael B. Jordan semua terlepas peluang.

Namun taruhan awal bagi kemenangan pada September ialah ke atas Criss, wajah tidak begitu terkenal yang membawa watak pembunuh Versace, Andrew Cunanan, dalam drama FX berkenaan.

Selepas ia kembali setelah dua dekad menghilangkan diri, ‘Roseanne’ merupakan satu daripada beberapa gambaran bagi kehidupan kelas buruh dalam televisyen Amerika Syarikat sejak 12 bulan lalu, dan juga salah satu program tentang penyokong Trump yang amnya tidak dipedulikan oleh Hollywood.

Ia kelihatan seperti akan disisihkan daripada anugerah Emmy pada tahun ini selepas bintang berusia 65 tahun Roseanne Barr - seorang penyokong Trump yang vokal dan pernah menyiarkan pandangan haluan kanan ekstrim dan pakar teori konspirasi - digugurkan oleh ABC kerana membuat hinaan rasis dalam Twitter.

Namun skandal itu dipercayai tidak mencemari pemenang Tony dan calon anugerah Oscar yang amat dikagumi, Laurie Metcalf, adik perempuan Roseanne, Jackie, dalam program itu, yang menerima pencalonan kelapannya.

Undian pusingan kedua diadakan pada Ogos manakala majlis itu sendiri akan dipancarkan secara langsung dari Microsoft Theater di Los Angeles pada 17 September di saluran NBC - yang dihoskan oleh dua anggota “Saturday Night Live”, Colin Jost dan Michael Che. — AFP

Advertisement