Anda di sini

22 Julai tarikh keramat kemerdekaan sebenar Sarawak

Advertisement
JUANDA
JUANDA
ABDUL YAKUB
ABDUL YAKUB

MUKAH: Tarikh keramat 22 Julai harus dijadikan pembuka mata oleh setiap warga Sarawak sebagai satu tarikh erti kata sebenar kemerdekaan.

Tidak ramai yang mengetahui tarikh itu sebenarnya tarikh kemerdekaan sebenar bagi Sarawak di mana ia benar-benar mula ditadbir sendiri oleh warga Sarawak sejak 1963.

Menyedari akan hal itu, langkah pertama telah diambil bekas Ketua Menteri Sarawak Allahyarham Pehin Sri Adenan Satem atau Tok Nan yang telah menjadikannya sebagai sambutan rasmi kepada Sarawak.

Bagaimanapun, pada 2017 ketika jawatan Ketua Menteri diletakkan ke atas tanggungjawab baharu setelah pemergian Tok Nan, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg meneruskan 22 Julai sebagai tarikh cuti umum negeri ini.

“Kini semua sudah maklum bahawa tarikh 22 Julai adalah tarikh di mana rakyat Sarawak mentadbir kerajaan sendiri yang dianggotai semua etnik sehingga kini,” kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jemoreng Datuk Dr Juanda Jaya.

Selain mengembalikan ingatan kepada semua rakyat Sarawak mengenai pentingnya tarikh tersebut pada 1963, ia juga merupakan mercu tanda rakyat negeri ini kekal kukuh bersatu padu dalam kepelbagaian budaya, bangsa dan agama.

Ia juga harus dilihat sebagai tarikh rakyat Sarawak mengukuhkan perpaduan dan keharmonian serta tidak terlupa menuntut kembali hak Sarawak yang terhakis sebagaimana ditandatangani dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA 63).

Bagi ADUN Balingian Abdul Yakub Arbi, 22 Julai harus diingati sebagai satu tarikh perjuangan bagi semua rakyat Sarawak.

“Kita tidak harus berpecah belah dan harus mempertahankan hak negeri ini,” jelasnya.

Malah, kepercayaan kepada kerajaan berlandaskan parti tempatan adalah sesuatu yang amat perlu dipertahankan untuk meneruskan agenda dalam menuntut semula hak yang telah terhakis selama ini.

Sementara itu, ADUN Daro Safiee Ahmad pula menyeru agar cinta kepada negeri dizahirkan sambil mempertingkatkan perpaduan dan solidariti antara semua kaum yang terdapat di negeri ini.

“Kita semua harus berdiri teguh di belakang kerajaan untuk tidak serik memperjuangkan hak rakyatnya, keyakinan terhadap keupayaan rakyat sendiri dalam membangun serta mentadbir negeri ke arah lebih cemerlang juga sesuatu yang amat perlu untuk disemat dalam jiwa setiap anak negeri ini,” ujar Safiee.

  • oleh
  • Advertisement