Anda di sini

SST 2.0 mudah diuruskan oleh syarikat, adil untuk rakyat: Kastam

Advertisement
 Subromaniam (kiri) bercakap pada Sidang Media mengenai Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Kompleks Kastam Wilayah Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama
KEPERLUAN: Subromaniam (kiri) bercakap pada Sidang Media mengenai Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) di Kompleks Kastam Wilayah Kelana Jaya, Petaling Jaya, semalam. — Gambar Bernama

PETALING JAYA: Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan dilaksanakan bermula 1 September tahun ini, adalah mudah untuk diuruskan oleh syarikat selain turut mengambil kira keperluan kumpulan isi rumah berpendapatan rendah (B40), kata Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

Ketika menjelaskan perkara itu, Ketua Pengarahnya, Datuk Seri Subromaniam Tholasy berkata cukai berkenaan akan merangkumi tiga kategori iaitu berkadar sifar, lima peratus dan 10 peratus.

Bagaimanapun, kebanyakan produk akan tersenarai dalam kategori sifar peratus atau berkadar sifar.

“Selain itu, (cukai) perkhidmatan adalah enam peratus tetapi bukan semua, jika dibandingkan dengan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) sebelum ini,” katanya kepada pemberita pada sesi taklimat penerangan pelaksanaan SST bersama industri di sini, semalam.

Mengulas selanjutnya, Subromaniam berkata cukai tersebut akan turut diperkenalkan semula sebagai SST 2.0 dengan sebahagian besar daripada prosedurnya adalah berasaskan Internet berbanding kaedah manual tradisional sebelum ini.

Berikutan itu, proses tersebut adalah lebih menjimatkan masa dan kos berikutan pengurangan aspek birokrasi, katanya.

“Jika dibandingkan dengan GST, ia (SST) juga jauh lebih mudah kerana kita hanya menumpukan kepada pengeluar dan penyedia perkhidmatan.

“Kesemua peruncit tidak lagi berada dalam jaringan itu, tiada kos atau rekod tuntutan yang difailkan dan juga tiada sebarang kos pematuhan,” katanya.

Menurut Subromaniam, walaupun terdapat 472,000 syarikat berdaftar di bawah rejim GST, Jabatan Kastam sebaliknya menjangkakan kurang 100,000 perniagaan yang terbabit di bawah SST 2.0 berkenaan.

Sementara itu, Jabatan Kastam juga akan memuat naik barangan berkadar sifar di laman sesawangnya hari ini (semalam) manakala laman sesawang GST akan ditukar kepada SST pada 1 Ogos ini.

Selain itu, pihak Kastam akan turut melancarkan program penglibatan SST di seluruh negara bermula 24 Julai ini dalam usaha memastikan industri tempatan beralih kepada sistem SST daripada GST.

“Saya yakin jika kita berjaya melaksanakan GST, sudah pasti keadaan juga sama dengan SST 2.0 ini,” katanya.

Beliau juga menjangkakan Rang Undang-Undang SST akan dapat diluluskan (di Parlimen) pada bulan depan.

Laporan sebelum ini menyatakan penambahbaikan SST itu akan diumumkan selepas Rang Undang-Undang SST itu dibentangkan di Parlimen. — Bernama

Advertisement