Anda di sini

Seiring perubahan dunia

Advertisement
 Peserta BEIC 2018 berswafoto dengan Abang Johari sambil diperhatikan oleh Lau (kiri) dan Wong (dua kiri).
TIDAK LEPAS PELUANG: Peserta BEIC 2018 berswafoto dengan Abang Johari sambil diperhatikan oleh Lau (kiri) dan Wong (dua kiri).

KUCHING: Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, dasar kerajaan Sarawak perlu berubah seiring dengan perubahan landskap perniagaan semasa dan peranan teknologi dalam sektor itu.

Beliau berkata, beberapa isu utama perlu dihadapi dalam perubahan tersebut termasuk membangunkan ekonomi digital, perniagaan baharu wujud daripada perkembangan teknologi, menambah nilai kepada produk sedia ada dan pembangunan lestari dalam pasaran terbuka.

“Teori lama tidak lagi relevan sekarang kerana kuasa pasaran bergantung kepada apa yang dipanggil pasaran komuniti.

“Maknanya, memasarkan produk kita kepada dunia luar di mana komunitinya mencecah tiga bilion iaitu komuniti Facebook yang boleh diakses menerusi perkhidmatan Internet yang baik,” ujarnya ketika menyampaikan ucaptama pada Persidangan Pelaburan dan Keusahawanan Borneo (BEIC) 2018 di sini, semalam.

Hadir sama Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan Dato Sri Wong Soon Koh, Menteri Muda Pembangunan Perusahaan Kecil dan Sederhana dan Usahawan Datuk Mohd Naroden Majais, Menteri Muda Industri dan Pelaburan Malcolm Mussen Lamoh, Pengarah Urusan Kumpulan KTS Dato Henry Lau dan pengerusi penganjur Pattrik Ting.

Abang Johari berkata, menerusi ekonomi digital produk keluaran usahawan tempatan boleh dipasarkan dari mana sahaja dan ke mana sahaja di dunia ini.

Mengenai pertanian, beliau berkata, sudah menjadi hasrat kerajaan Sarawak melahirkan lebih ramai petani moden yang menggunakan teknologi terkini untuk mengusahakan ladang mereka.

Beliau berkata, penggunaan teknologi dalam sektor pertanian dapat meningkatkan keberkesanan pengeluaran hasil pertanian, selain jimat kos kerana kebergantungan terhadap tenaga buruh dapat dikurangkan.

“Namun apa yang penting usahawan perlu ada visi yang membolehkan mereka  fokus, membuat kajian, dan cuba memodenkan pengeluaran pertanian penggunaan teknologi moden,” katanya.

Selain menyediakan perkhidmatan Internet berkelajuan tinggi kepada usahawan termasuk yang terlibat dalam sektor pertanian, Abang Johari berkata, kerajaan Sarawak akan mewujudkan taman agro.

Katanya, taman agro berkenaan akan dilengkapi infrastruktur Internet bagi membolehkan usahawan tani mengaplikasikan sistem segalanya internet (IOT) yang menjanjikan hasil tanaman lebih banyak berbanding pertanian cara konvensional.

“Sarawak mempunyai kelebihan kerana mempunyai tanah yang luas untuk diusahakan dan jika IOT digunakan, hasil berganda boleh dipasarkan ke luar negara.

“Sarawak boleh menjadi pengeluar makanan utama di rantau ini,” katanya.

Justeru katanya, kerajaan Sarawak di bawah Gabungan Parti Sarawak (GPS) akan memberi penekanan hebat dalam membangunkan ekonomi digital di negeri ini.

Malah katanya, inisiatif untuk menaik taraf infrastruktur dan kelajuan Internet dengan peruntukan RM1 bilion telah pun dimulakan.

“Kita tidak boleh dihubungkan dengan pasaran luar jika ‘gateway’ Internet kita sangat kecil berbanding infrastruktur Internet antarabangsa.

“Oleh sebab itu, kerajaan Sarawak yang kini di bawah GPS dengan agresif hendak menaik taraf infrastruktur serta kelajuannya (Internet) kepada sekurang-kurangnya 150 Mbps di kawasan-kawasan tertentu,” katanya.

Ujarnya, perkara itu merupakan keutamaan beliau ketika pertama kali memasuki pejabat sebagai Ketua Menteri Sarawak keenam pada 13 Januari 2017.

Mengenai penganjuran BEIC 2018, Abang Johari berkata, ia tepat pada masanya kerana ketika ini landskap perniagaan dunia telah berubah disebabkan kemajuan teknologi.

“Tahniah kepada Kumpulan See Hua dan dua kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dan Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Usahawan kerana menganjurkan konvensyen ini,” katanya.

BEIC 2018 yang diadakan di KTS Garden merupakan anjuran bersama kerajaan Sarawak menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan E-Perdagangan dan Kementerian Perindustrian dan Pembangunan Usahawan dengan Kumpulan See Hua, BEAM dan LiveIntent.

  • oleh
  • Advertisement