Anda di sini

Johan & Zizan Razak kembali bersatu menerusi slot Lawak Live ‘JOZAN’

Advertisement
 Johan (kiri) dan Zizan (kanan) bersama Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Warna.
PROGRAM BAHARU: Johan (kiri) dan Zizan (kanan) bersama Norzeha Mohd Salleh, Pengurus Saluran Astro Warna.

SAMBUTAN hebat diterima oleh barisan program yang bersiaran secara langsung di saluran Astro Warna seperti ‘Super Spontan’ dan ‘Maharaja Lawak Mega’ mendorong pihak saluran komedi ini untuk terus memantapkan seleksi kandungan programnya dengan memperkenalkan slot baharu, ‘Lawak Live’.

Slot Lawak Live ini bakal menyajikan program-program variety yang akan bersiaran secara langsung.

Pelawak, pelakon serta pengacara yang tidak asing lagi, Johan dan Zizan Razak, diberi penghormatan untuk membuka tirai slot Lawak Live menerusi program ‘JOZAN’ yang menyaksikan dua figura popular ini bergandingan selaku pengacara program.

Bakal ke udara selama 40 minggu, JOZAN akan bersiaran secara langsung selama satu jam dari Studio 1, Astro pada setiap hari Selasa bermula 24 Julai 2018, jam 10.00 malam.

Ia akan dipancarkan terus di Astro Warna (saluran 132), Warna HD (saluran 124) dan untuk pilihan alternatif, ia boleh ditonton menerusi platform digital Astro GO dan ‘on demand’.

Program JOZAN merupakan sebuah program variasi hiburan komedi kendalian Johan dan Zizan Razak yang mengetengahkan isu-isu terkini dan viral menerusi pelbagai bentuk aktiviti hiburan berteraskan komedi seperti permainan, sketsa, debat santai, persembahan muzikal, parodi, temu bual dan pelbagai lagi.

Program ini juga akan dimeriahkan dengan kehadiran selebriti popular tanah air pada setiap minggu.

Berdurasi selama satu jam, JOZAN dibahagikan kepada lima segmen di mana setiap segmen mengandungi pengisian aktiviti hiburan yang berbeza.

 

Secara keseluruhannya, terdapat 22 bentuk aktiviti hiburan yang bakal menghiasi ‘JOZAN’. Antaranya adalah ‘Perang Jantina’, ‘Bakat Ke Laut’, ‘Kita Ke Mahkamah’, ‘Lip Sync Battle’, ‘Horror Latah’, ‘Bual Bicara’, ‘Hos vs Hos challenge’ dan pelbagai lagi.

Menariknya, aktiviti hiburan bagi setiap segmen tidak tetap dan akan bertukar silih berganti pada setiap minggu bagi mencetuskan keterujaan dalam kalangan penonton dan memastikan kandungan program JOZAN sentiasa segar dengan kelainan yang ditampilkan dalam setiap episod.

Kepelbagaian aktiviti hiburan dalam JOZAN yang disesuaikan mengikut topik perbincangan pada minggu tersebut bukan sahaja menguji para selebriti jemputan tetapi juga Johan dan Zizan selaku anak seni versatil yang bermula daripada bawah dan telah melalui liku-liku dunia hiburan.

Program ini juga bakal menyaksikan penglibatan secara langsung daripada penonton di mana terdapat sebuah segmen khas untuk penonton menonjolkan bakat mereka dan penonton juga berpeluang untuk menentukan cabaran yang harus dilakukan oleh Johan dan Zizan serta melontarkan idea-idea bernas berkaitan program dengan memberi maklum balas di media rasmi JOZAN untuk perhatian pihak penerbitan.

Antara lain yang menarik perhatian adalah JOZAN merupakan program pertama menampilkan Johan dan Zizan Razak sebagai JOZAN selepas enam tahun.

Penampilan akhir gandingan mereka berdua sebagai JOZAN di kaca televisyen adalah menerusi program ‘Maharaja Lawak Mega 2012’ yang menyaksikan mereka menjulang trofi juara.

Pengurus Saluran Astro Warna, Norzeha Mohd Salleh berkata, “Perkara paling utama dalam perjalanan program ini adalah kandungan yang memberi gelak tawa kepada penonton. Justeru itu, kami membawakan pelbagai bentuk pengisian hiburan komedi seperti nyanyian, sketsa, cabaran santai, debat komedi, bual bicara serta pelbagai lagi yang akan bertukar-tukar pada setiap minggu, bersesuaian dengan topik pada minggu tersebut.

“Selain itu, penampilan pertama Johan dan Zizan dalam program ini pada 24 Julai kelak bakal menandakan penyatuan semula secara rasminya jenama ‘JOZAN’ setelah enam tahun mereka membawa haluan masing-masing dalam mencorakkan kerjaya mereka.

“Kini mereka kembali ke Astro Warna, tempat permulaan kerjaya mereka berdua sebagai anak seni yang lebih hebat, matang dan sarat dengan pengalaman untuk mengendalikan program mereka sendiri. Pastinya kehadiran semula gabungan duo yang pernah menggamatkan industri komedi tanah air suatu masa dahulu dinanti-nantikan oleh semua peminat,” katanya.

JOZAN akan mula dipancarkan secara langsung pada setiap hari Selasa mulai 24 Julai 2018 jam 10.00 malam di Astro Warna (saluran 132) dan siaran serentak di Warna HD (saluran 124).

Program ini juga turut boleh dinikmati melalui platform digital, Astro GO dan ‘on demand’.

Advertisement