Anda di sini

Proses kembiri kucing diharap tidak lagi disalah anggap

Advertisement
 Khalid (kanan) melihat Pengurus Vet O Vet Kota Bharu Dr Hafizie Mahadi (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas seekor kucing pada Hari Bertemu Vet Dr Kucing dan Beraya Bersama Si Comel di Wisma Bakti, Pengkalan Chepa di Kota Bharu baru-baru ini. — Gambar Bernama
POPULASI LEBIH TERKAWAL: Khalid (kanan) melihat Pengurus Vet O Vet Kota Bharu Dr Hafizie Mahadi (kiri) melakukan pemeriksaan kesihatan ke atas seekor kucing pada Hari Bertemu Vet Dr Kucing dan Beraya Bersama Si Comel di Wisma Bakti, Pengkalan Chepa di Kota Bharu baru-baru ini. — Gambar Bernama

KELAB Kucing Malaysia (KKM) berharap proses kembiri (pemandulan) kucing khususnya melibatkan kucing jalanan tidak disalah anggap oleh orang ramai kerana ia untuk kebaikan haiwan berkenaan.

Presidennya, Khalid Rashid berkata pada masa ini banyak kucing jalanan dilihat terbiar tanpa penjagaan malah dibiarkan kelaparan dan ada yang mati akibat dilanggar kenderaan.

Beliau berkata proses mengembiri kucing itu juga bukannya bertujuan mengurangkan populasi haiwan berkenaan tetapi supaya ia lebih terjaga.

“Kita tahu proses ini menelan kos dan berharap orang ramai yang mengambil dan memelihara kucing jalanan ini turut sama membantu.

“Dengan populasi lebih terkawal, maka mudah bagi kita menjaga kucing. Bagaimanapun, proses dimulakan sejak lebih 10 tahun lalu ini bukannya satu kemestian bagi pemilik kucing kerana ada mahu supaya kucing spesis berharga milik mereka membiak,” katanya kepada pemberita pada Majlis Aidilfitri KKM di Kota Bharu, baru-baru ini.

Dalam perkembangan sama, Khalid berkata sepatutnya di setiap negeri dibuat satu taman kucing yang menempatkan doktor haiwan serta pelbagai kemudahan untuk kucing dan pemiliknya.

“Buat satu tempat seperti klinik rawatan, tempat belajar dekat situ dan buat aktiviti membabitkan kucing seperti memberi makanan kepada kucing,” katanya.

Khalid berkata bagi pemilik kucing mereka perlu memberi vaksin selain rawatan fungus dan kutu kepada kucing peliharaan khususnya spesis berbulu lebat.

“Bagi KKM, mana-mana kucing yang tidak diberikan vaksin mencegah penyakit tidak akan dibenarkan menyertai pertandingan di bawah anjuran badan berkenaan,” katanya.

Pemilik kucing yang ditemui, Niey Rohani Hassan, 35, berkata dia amat menyokong sebarang langkah penjagaan kucing terutamanya kucing jalanan yang terbiar.

Beliau berkata kucing adalah haiwan manja dan perlu diberi penjagaan yang rapi kerana jika dibiarkan ia boleh dijangkiti pelbagai penyakit dan mungkin menjangkiti kucing lain.

“Saya sendiri mempunyai dua ekor kucing baka ‘Domestic Longhair’ yang diberikan seorang rakan, kucing saya ini diberikan penjagaan rapi dan sihat. Apabila sudah benar-benar sihat barulah timbul idea untuk membawanya menyertai pertandingan,” katanya. — Bernama

Advertisement