Anda di sini

Polis tangkap suspek pembunuh bersiri di Texas

Advertisement

CHICAGO: Polis di Texas kelmarin menangkap seorang lelaki yang mereka gambarkan sebagai seorang pembunuh bersiri yang meragut nyawa sekurang-kurangnya tiga orang dalam tempoh tujuh hari.

Jose Gilberto Rodriguez ditangkap selepas aksi kejar-mengejar selama 14 minit dengan polis, dan didakwa atas dua tuduhan melakukan pembunuhan.

Tuduhan membunuh ketiga difailkan semalam selepas bukti tambahan diproses, kata polis.

Seorang penduduk di sebuah bandar pinggir Houston memaklumkan kepada pihak berkuasa tentang lokasi kenderaan suspek berusia 46 tahun itu pada pagi kelmarin, hanya beberapa jam sahaja selepas polis memaklumkan orang ramai bahawa seorang pembunuh bersiri mungkin sedang bebas.

Polis menggambarkan Rodriguez sebagai seorang banduan yang dibebaskan dengan parol dan sepatutnya dipantau oleh penjejak yang dipasang pada buku lalinya, tetapi dia menanggalkannya beberapa hari sebelum dia didakwa melakukan jenayahnya.

Akhbar The Houston Chronicle melaporkan Rodriguez merupakan seorang pesalah seks yang disabit kesalahan, dan mempunyai masa silam yang meluas dan ganas bermula sekurang-kurangnya pada 1989.

RODRIGUEZ
RODRIGUEZ

Jenayah terbaharu yang didakwa dilakukannya mendedahkan kegagalan penguatkuasa undang-undang tempatan untuk memburu banduan itu kerana melanggar terma pebebasannya dari penjara.

“Tidak cukup ramai pegawai penguatkuasaan undang-undang yang memberi tumpuan kepada banduan yang dibebaskan dengan parol,” kata Ketua Polis Houston, Art Acevedo, di satu sidang akhbar.

“Kita ada beberapa kes di mana seseorang memotong pemantau mereka, dan perkara seterusnya yang kita tahu, mereka membunuh seseorang.”

Pegawai penguatkuasaan undang-undang menyuara-kan rasa lega bahawa Rodriguez sudah ditangkap tanpa insiden selepas aksi kejar-mengejar mengguna-kan kereta dengan polis yang menyekat laluannya. Sepucuk pistol dijumpai di dalam keretanya, kata polis.

Penyiasat berkata mereka belum lagi ada motif bagi jenayah yang didakwa dilakukan oleh Rodriguez.

Rodriguez disyaki melakukan beberapa jenayah yag bermula pada 9 Julai lalu dengan satu rompakan pecah masuk rumah.

Dia seterusnya didakwa membunuh sekurang-kurangnya tiga orang selain turut dikaitkan dengan rompakan dan serangan ke atas seorang pekerja khidmat metro Houston berusia 22 tahun, yang pada petang kelmarin dilaporkan berada dalam keadaan yang serius namun stabil di hospital. — AFP

Advertisement